

Berita
Calon AMK kecewa Rafizi serang calon ketua
Diterbitkan: May 18, 2025 12:03 PM
Dikemaskini: 12:57 PM
Sekumpulan calon yang akan bertanding jawatan sayap Pemuda PKR (AMK) menyatakan rasa kecewa dengan penyandang Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang menyerang calon ketua mereka, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar atas).
Mereka mengeluarkan kenyataan bersama menuduh Rafizi membuat tohmahan terhadap Muhammad Kamil.
"Rafizi sewajarnya terus menyatakan hasrat, visi dan misi beliau dalam mencalonkan diri sebagai Timbalan Presiden PKR tanpa menjatuhkan mana-mana pihak apatahlagi pasukan AMK yang kini sedang membina naik bersama.
"AMK sekali lagi tegas dengan pendirian keterbukan dan konsep ‘Kita Semua KEADILAN’ dan ini akan kami pastikan termeterai sehingga tamat Pemilihan PKR 2025 dan usaha ini akan dibuktikan kelak dalam program Rapat AMK 2025," kata mereka.
Kenyataan itu dibuat bersama Ketua Pemuda PKR Selangor Izuan Kasim, yang akan bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda, selain enam calon naib presiden AMK dan 49 calon ahli jawatankuasa pusat AMK.
Mereka dipercayai merujuk kepada kenyataan Rafizi mendakwa pemilihan PKR diadakan pada tahun ini kerana terdapat "bakat-bakat baru yang nak sangat bertanding", termasuk Muhammad Kamil dan Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan.
Jelas Rafizi, ini meskipun persetujuan awal antara pemimpin kanan PKR untuk tidak mengadakan pemilihan parti pada tahun ini bagi menumpukan kepada usaha meraih sokongan rakyat.
"Satu saya dah petik berkali-kali, Ramanan. Dia nak jadi naib presiden. Dia tak boleh tunggu dah ni, tak sabar-sabar (nak tunggu) dua tahun lagi, (dia nak) sekarang juga.
"Satu lagi Kamil. Alasannya kalau tidak berlaku pemilihan tahun ini, buat tahun 2027, umur dia dah terlebih 35, dia tak boleh bertanding dah," katanya ketika berucap di Kota Bharu, Kelantan pada 16 Mei.
Rafizi turut mempersoalkan ketiadaan pencabar Muhammad Kamil, yang juga setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bagi jawatan ketua Pemuda.
Sementara itu, kenyataan bersama calon AMK berkenaan menegaskan pihak mereka tidak pernah melibatkan mahupun mencela atau mengheret mana-mana individu dalam nada negatif sepanjang kempen pemilihan parti.
“Pun begitu, kekecewaan kami di peringkat AMK jelas apabila pimpinan dan calon di peringkat AMK itu diheret dalam kancah kempen di peringkat Pusat seperti yang berlaku dalam siri kempen calon Timbalan Presiden PKR.
“AMK amat memandang tinggi dan menghormati mana-mana pimpinan senior yang telah menyatakan hasrat bertanding bagi mana-mana jawatan di peringkat Pusat.
“Meski di peringkat calon AMK sendiri dapat dilihat kecenderungan sokongan calon-calon tersebut di peringkat pusat namun ini tidak dijadikan alat untuk berkempen dan menjatuhkan mana-mana calon AMK,” katanya.
Semalam, Izuan menggesa pemimpin parti supaya tidak mengheret sayap pemuda parti itu ke dalam saingan timbalan presiden PKR.
Izuan yang bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda PKR berkata demikian sebagai menjawab kritikan Rafizi, yang dilaporkan menuduh kepimpinan Pemuda sekarang kurang tenaga dan keazaman yang ditunjukkan oleh pendahulu mereka.
Ulasan
Catat Ulasan