Demografi dan kependudukan Asia Barat


Demografi dan kependudukan Asia Barat
May 19, 2025

Antara negara yang termasuk dalam wilayah Asia Barat moden.

Sebagai sebuah wilayah yang terletak di tengah dunia, kefahaman kita terhadap demografi dan kependudukan di wilayah ini akan membantu kita memahami kepentingan dan kedudukan wilayah ini dari pelbagai perspektif.

Sesuai dengan keadaan muka bumi yang menjadikan penduduk di wilayah ini kurang berinteraksi antara satu sama lain kecuali melibatkan beberapa tamadun awal seperti Tamadun Mesopotamia di Iraq, Tamadun Mesir di Utara Afrika dan Tamadun Iran di sebelah timur Iraq.

Kurangnya interaksi ini membentuk kepelbagaian dan kerencaman dalam pelbagai aspek seperti adat resam, agama, bahasa dan keturunan.

Kelompok yang pertama adalah Semitik.

Semitik – iaitu orang Yahudi dan Arab yang merupakan kelompok terbesar yang menduduki wilayah Asia Barat. Terdapat juga kelompok Semitik lain seperti Chaldean, Nestorian dan Assyrian. Di Lubnan pula terdapat kumpulan Kristian Maronite yang merupakan separuh daripada penduduk Lubnan sekarang. Terdapat juga kelompok Jacobites dan penganut Greek Ortodoks yang mengaku keturunan Semitik. Hampir semua mereka menggunakan Bahasa Syriac sebagai bahasa agama.

Arab

Pada masa ini terdapat kira-kira 473 juta penduduk di Asia Barat yang mengaku sebagai orang Arab. Dunia Arab mempunyai satu badan yang disebut Liga Arab, mengandungi 22 buah negara ahli.

Bangsa dan bahasa Arab hanya digunakan di Semenanjung Arabia sebelum kedatangan Islam seawal 2 ribu tahun yang lalu. Selepas kedatangan Islam, bahasa Arab menjadi bahasa utama penduduk di Asia Barat. Sebelum ini masyarakat luar Arabia menggunakan bahasa tempatan seperti Bahasa Kibti di Mesir, Bahasa Syriac di Syam dan sebagainya. Kejayaan penyebaran Islam selalu dikaitkan dengan penyebaran bahasa Arab apabila masyarakat tempatan menganut Islam, mereka menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa percakapan dan penulisan.

Masyarakat bukan Arab dan bukan Islam pula telah diasimilasikan dalam keluarga besar Asia Barat walaupun mereka tidak menganut Islam. Secara ringkas, terdapat orang Arab yang beragama Islam dan orang Arab bukan Islam; kekal dengan agama asal mereka, terutamanya agama Kristian dengan pelbagai mazhab.

Pada masa ini bahasa Arab percakapan diungkapkan dalam pelbagai dialek yang sangat ekstrem sehingga tidak difahami oleh etnik Arab di tempat lain. Sungguhpun demikian, dialek Mesir menjadi sangat dominan dalam kalangan para ulama terutama mereka yang pernah belajar di al-Azhar yang menampung pendidikan dalam pelbagai bidang sejak lebih seribu tahun yang lalu. Ini kerana universiti tersebut telah dibangunkan pada tahun 970M.

Yahudi

Merupakan bangsa Semitik kedua selepas Arab. Pada masa ini orang tinggal di negara haram Israel seramai 7.2 juta orang. Selain itu terdapat juga 6.3 juta Yahudi di Amerika Syarikat. Selebihnya mereka tinggal di Eropah dan negara Barat yang lain. Bahasa mereka, Ibrani (Hebrew) berasal dari akar yang sama dengan bahasa Arab dari segi ejaan dan bunyi walaupun menggunakan skrip yang berbeza. Sebutan, nahu, struktur ayat adalah hampir sama antara satu dengan lain.

Sebelum Perang Dunia Pertama (PD1), terdapat sejumlah penduduk Yahudi di Asia Barat terutama di Yaman, Iraq dan Iran. Selepas tertubuhnya negara haram Israel, mereka berpindah ke wilayah Palestin secara beramai-ramai.

Sehingga hari ini Yahudi menekankan kepada keturunan asal bangsa mereka dari sebelah ibu dan penganut agama Yahudi. Penganut agama Yahudi yang bukan keturunan Yahudi tidak dianggap sebagai Yahudi totok dan dalam banyak keadaan mereka menjadi penduduk Israel kelas kedua. Contoh yang paling jelas adalah Yahudi dari Afrika dan Amerika Latin.

Di Israel terdapat empat kelompok utama Yahudi iaitu; Yahudi Asia Barat digelar Mizrahim, Yahudi dari Sepanyol digelar Sephardim, Yahudi Eropah (terutama Eropah Timur) digelar Ashkenazim. Kelompok keempat adalah penganut Yahudi ekstrem yang mengamalkan agama Yahudi dengan ketat. Mereka dipanggil Haredim.

Bangsa lain

Turki
Terdapat 70 juta bangsa Turki yang tinggal di Turkiye pada masa ini. Mereka berasal dari Asia Tengah, tanah asal sebelum dibawa oleh Kerajaan Abbasiyah sebagai tentera upahan dan menganut Islam. Mereka terpaksa pindah ke barat dan selatan kerana polisi perluasan kuasa yang dilakukan oleh orang Mongol pada abad ke-10M lagi. Bangsa Turki dirujuk kepada orang Turki yang bercakap bahasa Turki dan beragama Islam.

Terdapat sejumlah besar keturunan Turki yang tinggal di luar Turki tetapi mempunyai pertalian darah dan perkongsian bahasa. Jumlah mereka menghampiri 170 juta nyawa. Mereka tinggal di wilayah Asia Tengah seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan, dan Caucasia seperti Azerbaijan dan Armenia. Apabila USSR roboh pada tahun 1994, semangat Turki Raya dibangkitkan semula bagi mencari titik persamaan antara mereka.

Iran (Parsi)
Terdapat 90 juta masyarakat Iran terutama mereka yang tinggal di negara Iran pada masa ini. Mereka terkenal kerana penganut Syiah paling ramai di Asia Barat. Di Iran, terdapat lebih 90% rakyatnya menganut fahaman Syiah. Semasa pemerintahan Dinasti Safawiyyah, mazhab Syiah telah menjadi mazhab rasmi negara. Keadaan ini kekal hingga sekarang. Iran sebagai sebuah negara menjadi lebih terkenal selepas berlaku Revolusi Iran.

Kurdi
Terdapat kira-kira 45 juta penduduk Kurdi di Asia Barat. Mereka tinggal di timur Turki, utara Iraq dan Syria, tenggara Iran dan selatan Rusia. Selepas gagal menubuhkan negara Kurdistan, mereka telah dipisahkan oleh sempadan wilayah di atas. Mereka berjaya mengekalkan budaya, cara hidup dan mazhab Syafie dan terkenal sebagai kelompok yang berpegang teguh kepada amalan agama.

Kibti
Terdapat 30 juta masyarakat Kibti dan majoriti mereka tinggal di Mesir. Mereka adalah penduduk asal Mesir sebelum kedatangan Islam. Mereka tinggal di Mesir sejak zaman dahulu lagi dan sebahagian kekal dalam agama mereka iaitu Kristian Ortodoks dan mempunyai identiti sendiri hingga sekarang. Penganut Islam keturunan Kibti lebih suka menggelarkan diri mereka sebagai Arab. Di Mesir mereka mempunyai sistem tersendiri dan memiliki hospital, sekolah, kedai, gereja dan lain-lain secara bebas.

Barbar
Masyarakat Barbar terbesar pada masa ini tinggal di Maghribi, berjumlah 14 juta orang. Jumlah keseluruhan mereka adalah seramai 30 juta. Sebelum memeluk Islam mereka terkenal dengan kehidupan padang pasir. Selepas menganut Islam mereka lebih suka dipanggil orang Arab kerana berlaku proses pengaraban dan pengislaman.
Selain Maghribi terdapat juga keturunan Barbar di Tunisia, Mauritania, Libya, Mesir, Niger, Burkina Faso, Mali dan Nigeria.

Mereka adalah penduduk asal di barat laut Afrika. Kebanyakan mereka masuk Islam dan menggunakan bahasa Arab. Mereka banyak membantu tentera Islam masuk ke Sepanyol pada awal abad ke-8 dahulu.

Selain itu, terdapat kumpulan lain seperti Bakhtiari (2 hingga 4 juta orang), Kashgai di Iran (2.5 juta), 400 ribu di Iran, Samaritans (900–1000 orang) dan Turkoman (7.8 juta orang).

Secara ringkasnya, apabila Islam sampai ke seluruh Asia Barat, bangsa Arab menjadi dominan dan penduduk tempatan merasa selesa dan bersedia menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa lingua franca walaupun ada dalam kalangan mereka yang tidak bersedia memeluk Islam. – HARAKAHDAILY 19/5/2025

(Penulis adalah pengkaji politik Asia Barat moden dan pemikiran Islam).

Ulasan