Ekonomi kritikal tak munasabah Menteri bercuti panjang


Ekonomi kritikal tak munasabah Menteri bercuti panjang

Syahir harap Rafizi segera kembali bertugas
May 4, 2025

KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli diharap agar dapat segera kembali bertugas selepas daripada bercuti nanti kerana negara sedang berdepan dengan situasi ekonomi yang amat kritikal ketika ini.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, biar apapun tujuan bercuti itu sama ada berehat atas faktor kesihatan atau tugasan atau bebanan kerja, beliau mendoakan Rafizi dalam keadaan baik-baik sahaja.

Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR disahkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sedang bercuti panjang tanpa menjelaskan sebab berbuat demikian dan terkini dilaporkan media ada menyatakan hasrat meletak jawatan.

“Situasi kritikal saya maksudkan yang pertamanya kita dalam tempoh ke tidaktentuan ekonomi global pasca ataupun kesan daripada pengumuman tarif sepihak ataupun ‘reciprocal tariff’ oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Agak tidak munasabah dalam tempoh ini dalam Kabinet tidak ada Menteri Ekonomi yang boleh menasihati, memberikan pengesyoran kepada Kabinet, memandu Jemaah Menteri dalam aspek ekonomi luar dan juga dalam negara.

“Keduanya ekonomi tempatan kita masih lagi berdepan dengan isu-isu kenaikan kos sara hidup, peningkatan kos di pihak peniaga dan yang paling penting ialah kita masih menantikan butiran pelaksanaan subsidi bersasar.

“Ia dijangkakan pada pertengahan kedua bermula Julai 2025 ini mungkin bagi petrol RON95. Dan juga kenaikan tarif elektrik kepada pengguna yang disasarkan,” ujar beliau yang juga Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN).

Menurut Syahir, sehingga kini butiran untuk pelaksanaan yang telah dinyatakan Perdana Menteri pada Belanjawan 2025 tahun lalu masih samar termasuk juga berhubung ukuran atau tafsiran mengenai golongan T15.

Hingga kini kesali beliau, perkara tersebut belum dimuktamadkan walaupun ia telah banyak kali dibangkitkan pihak pembangkang kerana rakyat perlu tahu sama ada mereka layak atau tidak menerima subsidi tersebut.

“Ini amat mengecewakanlah dan amat janggal apabila tempoh sebegini Menteri Ekonomi mengambil cuti yang panjang. Cuma seingat sayalah, kita sebagai rakyat ni kira YB Rafizi telah lama menyepi dan menghilang. Ada pun seperti tidak ada.

“Saya kira selepas Sidang Parlimen berakhir dan selepas itu ada beberapa isu. Antaranya isu ‘bail out’ Sapura yang saya konsisten bangkitkan tentang ‘double standard’ di pihak Perdana Menteri, di pihak DAP dan juga di pihak YB Rafizi.

“Kerana dahulu ketika Dato’ Sri Najib (Tun Razak) mencadangkan ‘bail out’ kepada Sapura, merekalah dan beliaulah paling kuat menentang dan kali ini saya bangkitkan bagaimana kerajaan, Kabinet dan Menteri Ekonomi boleh tidak menghalang?

“Saya tidak katakan mereka bersetuju, tapi tidak menghalang dan tidak ada respons sepatah pun daripada mereka, hatta pantun saya berikan kepada YB Rafizi pun tidak tidak jawab. Fakta saya bangkitkan pun tidak dijelaskan sebenarnya.

“Ketika itu beliau sudah menghilang dan menyepi dan ditambah dengan sistem PADU (Pangkalan Data Utama) yang telahpun lebih setahun masih lagi tidak ada kemas kini,” persoal beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.

Penolong Setiausaha Agung PAS itu juga turut mengungkapkan kejanggalan terhadap tindakan Rafizi bercuti memandangkan negara sedang merangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk dibentang pertengahan tahun ini.

“Jadi secara tulus ikhlasnya saya mengharapkan YB Rafizi dalam keadaan yang baik, kesihatan yang baik dan dapat kembali bertugas sebagai Menteri Ekonomi dalam tempoh yang agak getir ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/5/2025

Ulasan