

Berita
Fadhli: ‘Tak munasabah’ Rafizi bercuti ketika nak perang ekonomi
Diterbitkan: May 5, 2025 3:28 PMDikemaskini: 3:28 PM
PARLIMEN | Seorang ahli parlimen PAS mengulang rasa tidak puas hati pembangkang terhadap tindakan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengambil cuti di tengah ketidaktentuan ekonomi global, susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balas terhadap import negara.
Tidak berselindung dalam ucapannya di Dewan Rakyat hari ini, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menyifatkan cuti panjang Rafizi yang diluluskan oleh kerajaan sebagai sesuatu yang “tidak munasabah” dan mendakwa ia telah menjadikan Malaysia sebagai bahan ketawa.
“Kita dalam keadaan nak perang ekonomi sekarang, tiba-tiba cuti sebulan diberi kepada menteri yang pegang portfolio agak penting.
“Ini satu perkembangan yang saya rasa agak luar biasa yang berlaku di negara kita…kita diketawakan,” katanya dalam perbahasannya semasa sesi mesyuarat khas Dewan Rakyat berhubung tarif AS.
Fadhli juga membayangkan bahawa langkah Rafizi bercuti daripada tugas kementerian mungkin ada kaitan dengan “isu pemilihan parti”, dipercayai merujuk kepada kekalahan beberapa calon kem Rafizi dalam pemilihan PKR peringkat cabang yang dipertikai baru-baru ini.
Rafizi dilaporkan mengambil cuti untuk tempoh yang tidak dinyatakan.
Terdahulu, seorang menteri memberitahu Malaysiakini bahawa cuti tersebut hanya untuk beberapa hari, namun media lain melaporkan tempohnya mungkin sehingga sebulan.
Ulasan
Catat Ulasan