
Hiruk pikuk yang sudah sukar dibendung
May 19, 2025
PARTI Keadilan Rakyat akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinan tidak lama lagi. Kalau dahulu, tiada orang peduli tentang pemilihan dalaman PKR, hari ini pemilihan parti reformasi tersebut menjadi bualan dan tontonan umum.
Bukan kerana hebatnya pemimpin yang bakal dipilih, tetapi kerana gamatnya suasana pertarungan dalaman di dalam PKR.
Datuk Seri Rafizi memulakan kempen untuk pencalonan Timbalan Presiden dengan begitu kontroversi. Dengan tagline HIRUK, beliau memulakan kempen untuk menyaingi Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden, jawatan kedua tertinggi.
HIRUK iaitu akronim kepada “Hidupkan Idealisme Reformasi (dalam) Ujian Kuasa” membawa 2 konotasi yang begitu mendalam jika diamati. Pertama, “ujian kuasa” menandakan Rafizi cuba menggambarkan betapa pemimpin-pemimpin PKR kini berada dalam kemelut ujian-ujian kesenangan di pundak kuasa.
Sememangnya “power is delicious” bak kata seorang pemimpin, maka pertembungan antara kelazatan kuasa dan agenda reformasi yang ingin dibawa dari jalanan dataran merdeka dahulunya menjadi ujian getir. Keduanya, frasa “hidupkan idealism reformasi” seolah-olah menunjukkan Rafizi membayangkan di dalam Kerajaan Madani yang dianggotai PKR masih belum mampu untuk mengangkat idealisme retorik reformasi yang mereka laungkan selama ini. Pendek kata, “cakap tak serupa bikin”.
Maka HIRUK tersebut bermungkinan adalah semak dan imbang kepada realiti pahit yang berlaku pada hari ini. Apa tidaknya, segala agenda reformasi termasuk reformasi institusi dan hak asasi sudah dibakulsampahkan satu demi satu.
Kebebasan media dikekang secara bersepadu, akta-akta drakonian terus diguna ke atas seteru, dan pelbagai lagi janji bulan bintang bima sakti yang sudah disejuk beku.
Yang lebih menghairankan ialah ketidak tentuan hala tuju PKR sebagai sebuah parti dalam mengangkat idealisme asal mereka. Semacam ada 2 golongan di dalam PKR, pertama yang masih ingat agenda reformasi dan tahu rakyat akan menolak mereka kalau mereka gagal mengangkatnya, dan keduanya yang tidak peduli segala idealisme itu asalkan dapat terus mengecap kelazatan kuasa.
Ironinya, Rafizi dan Nurul Izzah dengan terbuka menyatakan tidak bersetuju dengan perlantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, dalam keadaan PKR paling lantang dahulunya ingin mencari dan menghumban Azam Baki ke penjara sebelum pilihanraya. Maka, apakah Rafizi dan Nurul Izzah terpaksa menelan niat itu hanya kerana arahan atasan yang masih mahukan Azam Baki, dan tidak peduli apa orang kata?
Rafizi beberapa hari ini pula membuat sindiran tajam meminta sokongan diberikan kepada Nurul Izzah, lawannya. Katanya kemenangan Nurul Izzah adalah perlu kerana kalau Nurul Izzah kalah, mesejnya ialah PKR telah menolak ayahnya.
Walaupun nampak “catchy” dan menarik telahan itu, namun ia hanya merupakan sindiran tajam, mungkin tentang suburnya nepotisme dalam PKR, atau agungnya Presiden PKR sehingga tiada siapa berani meningkahnya. Sehinggakan meningkah puterinya juga ibarat meningkah dirinya.
Dalam keadaan PKR bersungguh mengatakan PAS sebagai parti wala’un, yang taat membuta tuli, Rafizi sendiri pula mengesahkan PKR juga tidak kurang bezanya dengan “parti mullah” dan “dinasti”, yang berpusatkan kepada seorang individu semata-mata. Sama-samalah kita saksikan kesudahan hiruk pikuk yang sudah sukar dibendung ini. – HARAKAHDAILY 19/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan