
HIV kalangan remaja semakin membimbangkan
Perikatan Nasional Tuntut Tindakan Berani
May 20, 2025
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional menggesa kerajaan agar melaksanakan langkah pencegahan dan intervensi yang lebih berani dan menyeluruh susulan peningkatan kes jangkitan HIV, khususnya dalam kalangan remaja dan belia negara ini.
Ketua Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perikatan Nasional, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof berkata, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 3,185 kes baharu HIV dilaporkan sepanjang tahun 2024, dengan remaja berusia 13 hingga 19 tahun mewakili empat peratus daripada jumlah itu.
Katanya, trend penularan kini amat membimbangkan apabila majoriti kes tidak lagi berpunca daripada penggunaan jarum suntikan, sebaliknya berlaku menerusi hubungan seksual tanpa perlindungan, termasuk dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa.
“Ini menunjukkan kegagalan sistem semasa dalam menyampaikan pendidikan kesihatan seksual yang berkesan serta kelemahan institusi dalam membentuk nilai dan emosi yang seimbang kepada golongan muda,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Statistik juga menunjukkan 90 peratus penghidap HIV terdiri daripada lelaki, manakala 75 peratus daripada keseluruhan kes melibatkan individu berumur antara 20 hingga 39 tahun.
Negeri Selangor pula mencatatkan angka tertinggi dengan 1,085 kes baharu, iaitu 34.1 peratus daripada keseluruhan kes.
Lebih merisaukan katanya, penularan jangkitan melalui hubungan sesama jantina semakin meningkat, sekali gus memperlihatkan keperluan mendesak untuk pendekatan pencegahan yang lebih berani, progresif dan bersifat akar umbi.
Beliau turut menegaskan bahawa pelajar sekolah, lepasan sekolah dan belia awal dewasa merupakan kumpulan paling terdedah, dan usaha menangani isu ini mesti bermula dari peringkat awal pendidikan.
Justeru, Perikatan Nasional mencadangkan sepuluh langkah strategik merangkumi usaha pencegahan dan intervensi, termasuk memperkenalkan kurikulum kesihatan reproduktif yang menyeluruh dan berakhlak.
Juga audit kandungan digital sekolah, kempen media sosial berasaskan testimoni remaja, serta latihan kepada guru dan warden asrama bagi mengesan risiko awal pelajar.
Selain itu, cadangan turut meliputi penubuhan klinik intervensi mesra remaja di fasiliti kesihatan terpilih, pembentukan ‘Pasukan Rakan Rescue’ di sekolah dan IPT, pelaksanaan program pemulihan identiti dan akhlak.
Selain mengadakan pembangunan aplikasi mudah alih bagi bantuan rahsia, serta penyediaan dana mikro kepada NGO belia dan kelab pelajar.
“Isu ini tidak seharusnya dipolitikkan. Ia menuntut keberanian untuk bercakap benar dan komitmen bersama semua pihak bagi menyelamatkan generasi masa depan daripada ancaman yang semakin serius,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 20/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan