
Seruan kepada tindakan proaktif dan penambahbaikan sistem wakaf negeri Perak
May 7, 2025
SAYA mewakili barisan pembangkang negeri Perak, ingin menyatakan pendirian serta cadangan konstruktif berhubung isu pemilikan tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai, yang telah menimbulkan isu baru- baru ini. Perkara ini telah dibangkitkan oleh YB Noor Azman Ghazali, selaku Ahli Dewan Negeri Alor Pongsu daripada Perikatan Nasional di dalam sidang Dewan Negeri pada bulan April yang lepas yang melibatkan tadbir urus harta wakaf di negeri ini.
Kami di pihak pembangkang menyambut baik tindakan Kerajaan Negeri Perak di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad, khususnya dalam inisiatif membeli semula tanah masjid berkenaan bernilai RM1.8 juta daripada pemilik bukan Islam melalui dana kutipan solat Jumaat seluruh negeri. Langkah ini merupakan salah satu manifestasi keprihatinan umat Islam terhadap maruah institusi masjid dan perpaduan umat Islam di negeri Perak.
Namun begitu, kami mencadangkan agar inisiatif sumbangan ini diluaskan dengan penglibatan aktif oleh entiti seperti Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), dan badan korporat Islam melalui sumbangan wakaf tunai sebagai solidariti bersama terhadap kepentingan wakaf.
Sehubungan dengan itu, sebagai penambahbaikan diidalam aspek perundangan dan penambahbaikan Tadbir Urus Wakaf. Isu ini telah menzahirkan keperluan segera untuk meneliti semula sistem pentadbiran wakaf selaras dengan peruntukan undang-undang seperti:
Pertama, didalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, khususnya Bahagian VI Wakaf, yang memperuntukkan bahawa semua harta wakaf adalah tertakluk kepada kawalan dan pengurusan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebagai pemegang amanah tunggal wakaf di negeri ini.
Seksyen 78 dan 79 enakmen tersebut memperuntukkan bahawa sebarang pewakafan tanah dan harta hendaklah didaftarkan secara rasmi dan tidak boleh dipindah milik atau dijual tanpa kebenaran bertulis MAIPk. Sehubungan itu, kami mengesyorkan Kerajaan melakukan pelaksanaan audit forensik menyeluruh terhadap semua aset wakaf di Negeri Perak bagi mengenal pasti harta wakaf yang belum didaftarkan, telah disalah urus atau berisiko dijual kepada pihak ketiga.
Kedua, membangunkan satu Pangkalan Data Digital Harta Wakaf Negeri Perak yang komprehensif dan boleh diakses oleh pihak berkepentingan untuk tujuan pemantauan dan ketelusan.
Ketiga, Penggubalan dan penguatkuasaan Dasar Perlindungan Wakaf Negeri Perak, termasuk mekanisme pemantauan, pelaporan dan siasatan kesalahan jenayah syariah berkaitan wakaf.
Keempat,meningkatkan kapasiti MAIPk dan JAIPk dari segi perundangan, pemetaan harta serta latihan teknikal dalam pengurusan tanah dan dokumen pemilikan.
Kami juga berpandangan agar diperkasakan lagi aspek Pendidikan, Kesedaran dan Perundangan Komuniti. Kami menyeru agar agenda pemerkasaan wakaf diperluas kepada masyarakat umum melalui:
a. Pemerkasaan program pendidikan undang-undang syariah dan sivil berkaitan wakaf, termasuk hak pewakaf dan prosedur pendaftaran wakaf di bawah enakmen negeri.
b. Penyediaan bahan pendidikan wakaf dalam bentuk digital dan bercetak, diselaraskan oleh MAIPk dan JAIPk dengan kerjasama institusi pendidikan Islam.
c. Seminar dan bengkel khusus kepada ahli jawatankuasa masjid, imam, dan penduduk kampung mengenai tanggungjawab menjaga amanah wakaf dan implikasi undang-undang terhadap kecuaian atau penyelewengan.
Kami menegaskan bahawa insiden yang berlaku di Masjid Jamek Ar-Ridzuan harus dijadikan iktibar kolektif demi memastikan institusi wakaf terus dihormati, dilindungi dan dimartabatkan mengikut lunas perundangan syariah dan sivil. Pihak pembangkang bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam membina sistem wakaf yang lebih berdaya tahan, telus dan lestari.
Sekian, terima kasih.
HAJI RAZMAN ZAKARIA
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak
ADN Gunong Semanggol
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Perak – HARAKAHDAILY 7/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan