Jadi Menteri tak berfungsi, cuti pula salah ‘timing’


Jadi Menteri tak berfungsi, cuti pula salah ‘timing’
May 6, 2025

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membenarkan Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli bercuti selama sebulan disifatkan sebagai tidak kena pada tempatnya.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, cuti panjang berkenaan adalah tidak wajar di saat negara sedang berhadapan dengan krisis ekonomi akibat tekanan tarif dari Amerika Syarikat.

“Bila ditanya kepada PMX (Dato’ Seri Anwar Ibrahim), dia jawab ‘biasalah orang bercuti, beberapa hari sahaja. Saya pun nak bercuti juga’. Tepuk dahi aku baca jawapan PMX ni.

“Okay, macam nilah PMX. Memang biasa penjawat awam atau swasta bercuti. Tapi logik ke ketika negara sedang berhadapan dengan perang ekonomi (tarif Amerika Syarikat), Menteri Ekonomi kita bercuti sebulan?” persoalnya.

Tambah beliau, tiada seorang pun ahli parlimen kerajaan yang berani bangkit dan mempertahankan tindakan PMX meluluskan cuti itu ketika ditegur Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dalam sidang Khas Parlimen, semalam.

“Kalau PMX tak faham juga, dia ibarat macam ini, cikgu tingkatan lima nak bercuti ketika pelajar nak periksa SPM, polis nak bercuti ketika berlaku insiden keselamatan yang serius, doktor bercuti ketika berlaku insiden kesihatan yang serius seperti COVID19.

“Logik ke? Tak kena ‘timing’ lah. Kalau kakitangan awam boleh dibekukan cuti, yang dah bercuti dipanggil balik bertugas, apesal PMX sebagai bos boleh luluskan cuti sebulan Menteri Ekonomi?

“Dah lah kau tak berfungsi sebagai Menteri Ekonomi, tetiba kau boleh plak nak bercuti ketika negara perlukan kau untuk berfungsi.

“Nasihat aku kepada PMX, batalkan cuti Rafizi Ramli segera dan arahkan dia kembali bertugas untuk menjalankan fungsi sebagai Menteri Ekonomi untuk berhadapan dengan perang ekonomi ini.

“Kalau dia tak nak masuk kerja, arah dia letak jawatan dan lantik orang lain sebagai Menteri Ekonomi. Jangan ‘double standard’, dengan penjawat awam marhaen lain layanan, Menteri kayangan lain layanan,” katanya.

Terdahulu, Rafizi dilaporkan telah mengambil cuti sehingga 31 Mei ini, dipercayai ada kaitan dengan rasa tidak puas hati terhadap perjalanan pemilihan parti yang sedang dijalankan selepas keputusan peringkat cabang tidak memihak kepadanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2025

Ulasan