Jangan bunuh angsa emas, selesaikan isu Petronas-Sarawak


Jangan bunuh angsa emas, selesaikan isu Petronas-Sarawak
Oleh Aznan Bakar
4 Mei 2025, 7:15 am

SEJAK dari penubuhannya pada tahun 1974, Petronas telah memainkan peranan yang sangat besar kepada industri minyak dan gas (O&G) negara.

Dalam tempoh lebih setengah abad kewujudan syarikat minyak negara itu telah memberi sumbangan yang cukup besar kepada negeri-negeri di mana perniagaannya bertapak.

Setiap tahun puluhan bilion dikembalikan kepada kerajaan dan rakyat sama ada bagi digunakan untuk tujuan pembangunan mahupun pentadbiran.

Hasil tadbir urus yang cekap, Petronas muncul sebagai syarikat minyak yang dihormati di peringkat dunia dan menjadi satu-satu syarikat dari negara kita yang tersenarai dalam Fortune 500.

Petronas ibarat angsa bertelus emas yang dimiliki negara yang manfaat daripada ‘telur’ dapat dinikmati semua.

Oleh itu pertikaian terbaharu syarikat minyak nasional itu dengan kerajaan negeri Sarawak bukan sesuatu yang sihat kepada mana-mana pihak.


Ketika kita menghormati hak perlembagaan Sarawak, pada masa sama kita kena pastikan pertikaian itu tidak membunuh angsa emas kita yang telah berjasa lebih 50 tahun.

Kita sangat berharap agar kepimpinan negara dan ne­geri dapat meredakan perbalahan antara dua entiti ini berhubung hak sumber O&G di dalam dan sekitar Sarawak.

Kita berpegang kepada kata-kata Premier Sarawak, Abang Johari Openg bahawa negerinya bertindak rakus dan setiap tindakan hanya menggunakan “hak perlembagaan” untuk mengagihkan gas milik negeri itu.

Amat diyakini bahawa Abang Johari adalah pemimpin yang rasional dan sedia berkompromi demi kepentingan bersama.

Persekutuan dan negeri perlu bersifat terbuka atas dasar kepercayaan, persefahaman dan saling menghormati.

Keputusan yang menang-menang perlu dicapai kerana andai ada pihak yang tewas jika isu dibawa ke mahkamah ia hanya akan merugikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, seorang warga Sarawak, melahirkan harapan bahawa hasil yang saling menguntungkan akan dicapai: yang akan menguntungkan kedua-dua negeri dan negara.

Petronas ditubuhkan 51 tahun lalu atas prinsip perkongsian menang-menang antara persekutuan dan negeri.

Ia dibina atas integriti dan komitmen terhadap pengagihan kekayaan yang saksama dalam kalangan entiti yang terlibat. Setiap entiti mendapat manfaat daripada keupayaan dan kejayaan Petronas selama ini.

Demi kepentingan semua, pemimpin persekutuan dan negeri kena bangkit mengatasi pertikaian dan mencontohi pandangan jauh pemimpin berwawasan mereka pada awal 1970-an yang meletakkan Petronas di tempatnya sekarang.

Apa yang telah dirintis oleh pemimpin terdahulu iaitu Tun Abdul Razak dan Datu Patinggi Tun Abdul Rahman Yaakub telah melahirkan angsa emas yang diberi nama Petronas ini bagi memanfaatkan sumber O&G negara terutama di Sarawak.

Sebab itu kita harap, angsa emas yang lahir hasil wawasan pemimpin terdahulu tidak terbunuh dek kerana pertikaian ini dan kekal menelurkan telur emas yang memberi manfaat kepada kita semua. – UTUSAN

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Ulasan