
Kedaulatan mesti dipertahan dalam rundingan tarif AS
May 8, 2025
BARU-baru ini Dewan Parlimen telah pun mengadakan Persidangan Khas berkaitan dengan isu perang tarif oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran baharu Donald Trump yang telah menimbulkan kegusaran banyak negara terlibat termasuk Malaysia.
AS telah mengenakan tarif asas 10 peratus dan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap import dari Malaysia (ditangguhkan selama 90 hari untuk rundingan) atas alasan untuk mengimbangkan defisit dagangan.
AS menjadi antara rakan dagangan utama Malaysia dengan nilai eksport sekitar RM198.6 bilion tahun lalu atau 13.2 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport negara, manakala nilai import keluaran AS ke Malaysia pula lebih rendah dengan RM126.3 bilion pada 2024 bersamaan 9.2 peratus daripada keseluruhan import negara.Ia menjadikan lebihan dagangan Malaysia berjumlah RM72.3 bilion.
Dalam perlaksanaan polisi baharu tersebut, AS turut membangkitkan beberapa isu berkaitan ‘Sekatan Bukan Tarif’ (Non-Tariff Barrier) yang selama ini mereka lihat sebagai satu penghalang yang mengurangkan kemampuan eksport mereka.
Antaranya ialah berkaitan Peraturan Halal Malaysia yang ketat; pegangan Bumiputera; keperluan kandungan tempatan dan beberapa perkara lagi.
AS yang bakal mengenakan tarif baharu yang tinggi kepada Malaysia memang menjangkakan bahawa Malaysia dan negara-negara terlibat akan mengadakan perbincangan bagi merundingkan kadar tarif tersebut.
Kerana itu, kita tidak mahu AS menjadikan senarai ‘Sekatan Bukan Tarif’ tadi sebagai salah satu senjata timbal balas sekiranya Malaysia ingin kadar tarif baharu itu dikurangkan.
Perkara ini menjadi kebimbangan bukan sahaja dalam kalangan Ahli Parlimen Perikatan Nasional, malah seluruh rakyat Malaysia sebenarnya turut bimbang sekiranya Kerajaan Persekutuan tunduk kepada desakan AS berkaitan perkara ini.
Sebagai contoh, Sijil Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah satu persijilan bertaraf ‘gold standards’ dan ‘Halalan Toyiban’ yang diiktiraf diyakini oleh bukan sahaja masyarakat Islam seluruh dunia bahkan oleh negara lain seperti Jepun, Mexico dan beberapa negara lainnya.
Syarat ketat seperti keperluan untuk mewujudkan fasiliti berasingan antara penyembelihan ternakan halal dan tidak halal termasuk pengasingan kontena penghantaran turut dianggap oleh AS sebagai prosedur yang terlalu ketat yang perlu dilonggarkan.
Perkara ini bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap mudah, dilonggar atau diremehkan demi untuk memenangi hati negara kuasa besar tersebut dalam usaha mengurangkan tarif.
Selain itu, syarat pegangan Bumiputera dalam pelaburan-pelaburan asing dan keperluan peratus tertentu komponen tempatan juga bakal berdepan tuntutan untuk dihapuskan oleh pihak AS dalam rundingan berkaitan Sekatan Bukan Tarif ini.
Sekiranya tuntutan ini dipenuhi maka kita akan hilang keistimewaan dalam urusan perdagangan antarabangsa dengan mereka lebih-lebih dengan kemampuan kewangan mereka untuk bersaing bakal menenggelamkan firma-firma dan produk tempatan dengan kemasukan mereka tanpa syarat-syarat ini.
Kita juga bimbang apabila AS turut menuntut agar Malaysia membeli lebih banyak barang daripada negara itu sebagai salah satu pertukaran kepada rundingan tarif menjurus kepada pembelian persenjataan atau alatan komunikasi keselamatan seperti radar dan lain-lain.
Kebimbangan ini juga selaras dengan beberapa peristiwa yang telah berlaku sebelum ini seperti pembelian kepentingan Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB) oleh Global Infrastructures Partners (GIP) yang dimiliki firma pelaburan pro-Zionis, Black Rock.
Kerajaan dalam Sidang Parlimen khas berkaitan perkara ini juga memaklumkan bahawa segala perbincangan antara Malaysia dan AS berhubung tarif timbal balik tidak dapat didedahkan kerana tertakluk kepada Non-Disclosure Agreement (NDA).
Dengan itu rakyat Malaysia sendiri tidak akan dapat mengetahui apakah butir keputusan perbincangan tersebut sedangkan perkara-perkara yang mungkin menjadi timbal balas adalah perkara-perkara yang sangat sensitif terhadap rakyat dan melibatkan isu kedaulatan negara.
Kita menggesa agar pihak kerajaan sentiasa mengutamakan prinsip kedaulatan negara dan tidak akan tunduk kepada tekanan AS terutama dalam isu-isu melibatkan kesucian Islam dan keselamatan negara.
Kerajaan dalam masa yang sama juga harus segera mengambil langkah drastik mencari pasaran baharu eksport negara sebagai mengambil kesempatan daripada kemarahan negara-negara lain terhadap tindakan AS ini.
Kami dan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional akan turut bersama memberikan buah fikiran, saranan dan idea yang konstruktif, malah sokongan terhadap tindakan-tindakan kerajaan sekiranya ia suatu yang wajar dan tidak mengorbankan prinsip-prinsip Islam dan kedaulatan negara.
HAJI BAKRI JAMALUDDIN
Ketua Potfolio Perladangan dan Komoditi PN – HARAKAHDAILY 8/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan