Kelantan mulakan proses pengeluaran Beras Darul Naim


Kelantan mulakan proses pengeluaran Beras Darul Naim
April 28, 2025

KOTA BHARU: Sebanyak 30 hingga 40 metrik tan padi dibawa masuk ke Kilang Padi Beras Darul Naim di Meranti, Pasir Mas dekat sini sebagai permulaan sebelum mengeluarkan produk pertama Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kemudahan tersebut menghasilkan beras tempatan dengan jenama Beras Darul Naim.

“Hari ini kita mula buat pembelian padi sebanyak lapan treler bawa masuk padi untuk train proses ini berjalan yang kita jangka tahun ini bulan Ogos ini beras kita ada berada di pasaran, InsyaAllah.

“Treler ini membawa sekitar 30 hingga 40 tan metrik padi di Kelantan kita ini, akan dikilangkan di sini dalam usaha kita (kerajaan negeri) membangunkan sebuah kilang Padi Beras Darul Naim,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising dalam satu hantaran Facebook hari ini berkata lagi, kilang yang dibina diatas tanah seluas lapan ekar itu turut dilengkapi sebuah makmal yang sempurna.

Beliau berkata, kemudahan tersebut bagi menyemak serta mengenalpasti kualiti padi yang ditanam oleh petani tempatan dalam masa sama mampu menghasilkan beras tempatan bermutu tinggi.

“Kilang kita ini lengkap dengan makmal untuk semak kualiti padi, insyaAllah kilang kita di sini akan pastikan kualitinya yang terbaik untuk pastikan beras dihasilkan juga terbaik.

“Dengan adanya kilang ini banyak pihak akan menjana keuntungan bukan sahaja petani peladang, tetapi juga penduduk setempat yang boleh bekerja di kilang ini, 100 atau lebih,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kilang dibangunkan oleh Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dengan usaha sama pelabur tempatan yang berupaya memproses sehingga 600 tan metrik padi sehari.

Malah kerajaan negeri memberi jaminan produk beras bakal dikeluarkan kelak menggunakan sepenuh bahan tempatan yang dihasilkan oleh petani di negeri ini, tanpa campuran beras import. – HARAKAHDAILY 28/4/2025

Ulasan