
Kemuncak hujan meteor Eta Aquarids dijangka 6 Mei ini
05 Mei 2025 06:15pm
Masa membaca: 2 minit
Gambaran simulasi peta langit yang menunjukkan titik kemunculan hujan meteor Eta Aquarids di langit Kuala Lumpur pada 6 Mei ini jam 4 pagi menggunakan perisian Stellarium. FOTO/ Facebook MYSA.
SHAH ALAM – Kemuncak hujan meteor Eta Aquarids dengan purata 50 meteor per jam dijangka berlaku pada tengah malam Selasa ini sehingga menjelang matahari terbit.
Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berkata, kejadian tersebut boleh dilihat dengan jelas selepas bulan (fasa sukuan akhir) terbenam pada jam 2.29 pagi.
Menurut MYSA, fenomena astronomi itu berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit komet 1P/Halley atau dikenali sebagai ‘Halley’s Comet’.
“Ia merupakan salah satu hujan meteor yang disebabkan oleh debu-debu komet Halley selain hujan meteor Orionids yang berlaku pada Oktober setiap tahun. Komet Halley dianggarkan mengambil masa 75 hingga 76 tahun untuk melengkapkan orbitnya.
“Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri matahari, debu-debu bebas akibat proses pemejalwapan akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi sisa-sisa komet.
“Akhirnya, ia akan memasuki atmosfera bumi, terbakar dan membentuk jalur bersinar yang panjang,” kata MYSA menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Fenomena hujan meteor Eta Aquarids boleh dilihat mulai 19 April hingga 28 Mei ini.
MYSA turut memaklumkan, antara tips yang boleh digunakan untuk mencerap hujan meteor Eta Aquarids ialah memastikan pencerapan dibuat di kawasan lapang dan tiada halangan seperti bangunan tinggi, pokok atau rumah.
“Cuba dapatkan pemandangan langit yang luas dan jauhi persekitaran bercahaya, kawasan yang lebih gelap adalah yang terbaik.
“Sesuaikan mata dengan tahap kegelapan selama 15 hingga 20 minit dan tidak perlu fokus ke arah buruj Aquarius sahaja untuk melihat hujan meteor ini
Ulasan
Catat Ulasan