Kemungkinan penculikan Pamela dirancang sendiri


Kemungkinan penculikan Pamela dirancang sendiri
RUSDI Mohd Isa ketika sidang media rampasan dadah bernilai RM16.01 Juta di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur.-UTUSAN/Saddam Yusoff
Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
8 Mei 2025, 1:21 pm

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan kes kehilangan membabitkan Datin Seri Pamela Ling adalah kes penculikan dirancang sendiri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kes penculikan itu mungkin dirancang sendiri oleh mangsa kerana penculikan terbabit dilihat sangat lancar tanpa sebarang pergelutan.

Katanya, kemungkinan penculikan terbabit dirancang sendiri antara elemen yang disiasat pihak polis.

“Itu memang proses siasatan kami, kita akan buat siasatan secara menyeluruh dari setiap sudut. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku lancar, tidak bergelut.

“Jadi kemungkinan itu (dirancang sendiri) antara disiasat pihak polis,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati tiada sebarang operasi dijalankan di Kuala Lumpur ketika insiden penculikan itu berlaku pada 9 April lalu.

Isnin lalu, media melaporkan polis menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes kehilangan Pamela termasuk dakwaan dia dilarikan oleh pihak polis atau individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan yang menyatakan bahawa Pamela dilarikan oleh individu yang memakai vest bertulis polis namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, siasatan semasa kejadian juga turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“Pada masa ini semua maklumat dan keterangan daripada saksi-saksi yang dipanggil termasuk kenyataan daripada pemandu Grab yang membawa Pamela sedang dikumpulkan,” katanya.- UTUSAN

Ulasan