
Kerajaan Anwar masih nyanyi lagu ‘Tunggu Sekejap’
Sedangkan Trump isytihar perang ekonomi
May 5, 2025
KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) menyelar sikap pasif kerajaan dalam menangani krisis perdagangan terbaharu yang dicetuskan oleh kenaikan tarif ke atas eksport Malaysia ke Amerika Syarikat.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu, tarif yang dikenakan ke atas produk utama Malaysia, termasuk sektor elektrik dan elektronik, bukan isu kecil.
“Presiden Trump umum tarif timbal setinggi 24 peratus ke atas eksport kita dan hanya diberi penangguhan 90 hari. Itu bukan sekadar statistik perdagangan. Ini adalah pengisytiharan perang ekonomi secara terang-terangan.
“Negara-negara seperti Singapura dan Jepun tidak berlengah mereka menggandakan pelaburan strategik membentuk pelan kecemasan ekonomi dan mempercepat dasar lindung nilai ekonomi mereka.
“Tapi di Malaysia, tiada satu pun tadi dalam ucapan Tambun, menyebut ini sebagai krisis nasional, tiada amaran, tiada kesedaran awam, tiada pengisytiharan darurat ekonomi sedangkan seluruh sistem eksport kita.
“Khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik yang menyumbang 60 peratus eksport ke Amerika Syarikat kini berada kedudukan paling terdedah,” bidas beliau.
Wan Ahmad Fayhsal berkata demikian ketika membahaskan Tarif Amerika Syarikat setinggi 24 peratus dikenakan terhadap eksport Malaysia pada Persidangan Khas Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.
Beliau turut mempertikaikan ketiadaan pelan mitigasi, insentif pasaran baru dan bantuan kepada sektor terjejas.
“Tambun tadi lebih menumpukan kepada angka-angka lama statistik 2024 yang sudah tidak lagi relevan dalam realiti pasca tarif Trump. Kita perlukan fokus bukan nostalgia. Kita perlukan ‘resilience building’, bukan sekadar menyebut ekonomi domestik kita kukuh.
“Saya ingin tanya mana pelan mitigasi khusus bagi sektor yang terjejas? Apakah bantuan yang akan disalurkan kepada pemain industri? Di manakah insentif untuk mengalihkan pasaran eksport ke wilayah alternatif yang agresif?
“Kenapa kerajaan lambat bertindak? Trump, naik bukan kejutan. Sejak November lagi bila Trump menang semua orang tahu Trump akan kembalikan dasar ‘Amerika First’. Ramai pakar ekonomi sudah menjangkakan dasar perlindungan yang akan beliau lakukan pada kali ini.
“Dulu pun penggal pertama sudah buat kenaikan tarikh 20 peratus ke atas solar aluminium dan keluli. Presiden Biden pun teruskan. Tapi kerajaan pimpinan Tambun sibuk jalan sana sini. Sibuk pergi beraya
ketika AS kenakan tarif ke atas Mexico, Kanada ke China.
“Apakah tindakan ketika itu, diam seribu bahasa. Baru kita panik bila Malaysia dikenakan 24 peratus. Kerajaan pimpinan YAB Tambun hanya bertindak reaktif bukan proaktif. Kenapa kerajaan lalai selama ini?” soalnya.
Fayhsal turut mengimbas kelemahan kerajaan pada 1997 ketika negara dilanda Krisis Kewangan Asia.
“Jangan kita lupa tahun 1997 dulu. Menteri Kewangan ketika itu tidak berbuat apa-apa. Dalam tempoh yang lama. Beliau hanya jadi ‘Pak Turut’ kepada IMF yang menyebabkan kadar pengangguran naik mendadak.
“Allahyarham Tun Daim terpaksa dipanggil selamatkan negara oleh YAB Perdana Menteri ketika itu. Ini fakta dan sudah banyak ditulis secara oleh pakar-pakar dalam dan luar negara.
“Pakar ekonomi dalam luar negara sudah ramal kesan perang dagang IMF dan telah buat unjuran ekonomi akan berkembang dengan lebih perlahan tapi kerajaan sibuk menyanyi lagu ‘Tunggu Sekejap’ dan retorik benda ni sambil mengabaikan amaran,” sindirnya tajam.
Beliau berkata, Malaysia kini berada dalam kedudukan paling terdedah jika perang dagang berpanjangan dan tanpa pelan tindakan kukuh, negara bakal berdepan kerugian besar dalam jangka pendek dan panjang.
“Kesan perang dagang ke atas Malaysia amat serius Amerika dan China adalah rakan dagang terbesar kita. Mereka itu tulang belakang ekonomi kita. Tapi bila Amerika dan China sakit, kita kebas. Kita akan alami kerugian dalam jangka pendek.
“Jika perang dagang ini berterusan. Kita negara pengeksport maka apabila pasaran luar lemah, kita akan terkesan. Sehingga kini, tidak ada satu pun polisi yang dibuat oleh YAB Tambun, untuk kita hadapi ribut yang akan melanda. Tiada pelan, tiada strategi,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan