
Ketegangan India-Pakistan: Apa kesannya kepada rakyat?
APAKAH kita sedar bahawa dalam setiap ketegangan geopolitik yang berlaku, rakyatlah yang paling terkesan? - AFP
Oleh Erna Masfiza Mohamed Ramli
8 Mei 2025, 7:50 am
DALAM dunia yang semakin terganggu oleh ketegangan geopolitik, ketegangan antara India dan Pakistan kini bukan sahaja memberi kesan kepada kedua-dua negara, tetapi juga mempengaruhi kestabilan ekonomi global. Pada 22 April 2025, serangan pengganas di Pahalgam, Kashmir, yang meragut 26 nyawa, semakin memperburuk hubungan antara dua negara yang sudah lama berperang dalam sengketa wilayah.
Tindak balas India yang menggantung Perjanjian Pengagihan Air Indus 1960, yang mengancam untuk menghentikan aliran air ke Pakistan, hanya menambah kerumitan situasi ini. Tindakan ini mencabar undang-undang antarabangsa dan merencatkan keperluan asas manusia.
Bagi Pakistan yang bergantung sepenuhnya pada sistem sungai Indus untuk pengairan pertanian dan bekalan air minum, ini bukan sekadar isu politik, tetapi soal kelangsungan hidup.
Sumber air dari sungai ini adalah nyawa kepada pertanian Pakistan, yang menyumbang sebahagian besar ekonomi negara. Sekiranya aliran air ini terhenti, kita mungkin akan menyaksikan penurunan drastik dalam pengeluaran makanan, yang akan membawa kepada kekurangan bekalan makanan dan lonjakan harga barangan asas, sekali gus memberi beban yang berat kepada rakyat. Dalam hal ini, apakah kita sedar bahawa dalam setiap ketegangan geopolitik yang berlaku, rakyatlah yang paling terkesan?
Bukan sahaja rakyat Pakistan yang akan menanggung kesan langsung, tetapi ketegangan ini turut memberi impak besar kepada ekonomi global, termasuk Malaysia. India juga telah mengumumkan penutupan pos pemeriksaan bersama di sempadan Attari-Wagah.
Penutupan sempadan ini menghalang pergerakan barangan dan kargo, mengganggu pengangkutan bahan mentah dan produk siap antara kedua-dua negara. Malaysia, sebagai negara yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa, akan turut merasakan kesannya.
Gangguan ini akan meningkatkan kos penghantaran dan menyebabkan kelewatan yang memberi kesan kepada industri yang sangat bergantung pada penghantaran tepat pada masa, seperti sektor elektronik dan farmaseutikal.
Pakistan juga telah bertindak balas terhadap India dengan menutup ruang udaranya kepada pesawat-pesawat India, menyebabkan syarikat penerbangan India terpaksa mengambil laluan yang lebih panjang, meningkatkan masa penerbangan serta kos operasi. Sebagai tindak balas, India pula menutup ruang udara mereka kepada pesawat yang dikendalikan oleh Pakistan. Ini menambah tekanan pada kedua-dua negara dan memberi kesan kepada ekonomi global.
Sama ada kita menyedarinya atau tidak, keputusan untuk menghalang aliran barangan dan komoditi ini akhirnya membawa impak kepada kita, rakyat biasa, dalam bentuk kenaikan harga barang. Bagi Malaysia, yang mengimport gandum, kapas, dan banyak komoditi lain dari kedua-dua negara ini, kita akan berhadapan dengan kos yang semakin meningkat.
Rakyat Malaysia akan menanggung beban apabila harga barang keperluan asas melonjak, memberi kesan langsung kepada kuasa beli mereka. Jika kita tidak berhati-hati, krisis ini boleh merosakkan kestabilan ekonomi domestik, memperburuk keadaan inflasi dan meningkatkan kos sara hidup.
Malaysia perlu lebih bersedia dengan strategi ekonomi yang lebih menyeluruh dan tidak hanya bergantung pada negara-negara yang mengalami ketegangan politik. Terdapat banyak peluang untuk kita mengeksplorasi sumber alternatif, memperkukuh kerjasama diplomatik dengan negara-negara lain, dan mengurangkan ketergantungan terhadap India dan Pakistan dalam bekalan komoditi kritikal.
Ketidakpastian yang disebabkan oleh ketegangan ini mengingatkan kita tentang betapa rapuhnya sistem ekonomi global kita. Kita terlalu bergantung pada hubungan antara negara- negara besar ini, namun akhirnya rakyatlah yang menanggung kos ketidakstabilan ini.
Malaysia perlu mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan kesan negatif yang dialami oleh rakyat akibat ketegangan ini, memastikan kita tetap stabil dalam menghadapi cabaran geopolitik yang lebih besar di masa hadapan. Ini bukan hanya soal politik antarabangsa, tetapi soal bagaimana kita sebagai negara dan masyarakat dapat bertindak untuk melindungi kepentingan rakyat kita. – UTUSAN
DR. Erna Masfiza Mohamed Ramli ialah Pensyarah Kanan, Rantaian Bekalan dan Logistik Fakulti Perniagaan dan Pengurusan di Open University Malaysia (OUM).
Ulasan
Catat Ulasan