
Laksana kawalan hingga lesen jual vape tamat tempoh
April 30, 2025
ALOR SETAR: Kerajaan negeri tidak akan terburu-buru membuat keputusan larangan menjual rokok elektronik atau vape, memandangkan lesen telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, apabila lesen telah dikeluarkan, pihak peniaga berhak menjual rokok elektronik itu sehingga tamat tempoh.
“Kita tak boleh buat keputusan hari ini, nanti mereka saman kita pula,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Ahad lalu, beliau memaklumkan, Kedah mungkin akan mengikuti jejak langkah Kerajaan Negeri Terengganu yang mengambil keputusan mengharamkan penjualan vape di seluruh premis di negeri itu, bermula Ogos depan.
“Kerajaan negeri turut mengambil maklum, mengenai bahaya vape yang lebih buruk berbanding rokok, termasuk juga ada dakwaan ia mengandungi bahan kimia berbahaya dan dadah jenis ‘mushroom’,” kata beliau.
Dalam pada itu, jelas Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, pihak Kerajaan Negeri Terengganu telah memulakan proses untuk larangan penjualan vape di negeri itu sejak 2016 lagi.
Sedangkan di Kedah, lesen premis penjualan telah dikeluarkan PBT dan sebarang keputusan drastik, boleh mengakibatkan implikasi lain.
Walau bagaimanapun katanya, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria akan membentangkan kertas cadangan berhubung langkah kawalan itu pada mesyuarat akan datang.
“Kita akan pastikan langkah kawalan akan dilaksanakan sehinggalah lesen-lesen premis penjualan vape tamat dan selepas itu, barulah keputusan mengenai penjualan produk berkenaan dibuat,” tambah beliau lagi.
Sementara Mansor pula berkata, kaedah kawalan yang dicadangkan adalah sama seperti penjualan rokok ketika ini iaitu tidak dibenarkan dijual kepada remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun selain tidak boleh diiklankan. – HARAKAHDAILY 30/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan