Masih ramai calon persoal keputusan 'pelik' pemilihan PKR


Berita
Masih ramai calon persoal keputusan 'pelik' pemilihan PKR
Diterbitkan: May 18, 2025 6:29 PM

Langkah Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengesahkan keputusan pemilihan peringkat cabang yang dipertikaikan nampaknya masih gagal meredakan keadaan.

Walaupun pucuk pimpinan cuba memberikan penjelasan, ramai calon yang tewas dalam fenomena 'badan tanpa kepala' tetap enggan menerima keputusan tersebut.

Malaysiakini baru-baru ini menemui hampir 20 calon ketua cabang dari Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Melaka dan Johor yang menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan keputusan MPP.

Bercakap dengan syarat tidak mendedahkan nama, mereka secara umum melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan yang dianggap tidak masuk akal.

"Mereka (pucuk pimpinan) guna bahasa teknikal untuk mempertahankan keputusan pelik ini. Banyak di antara kami tidak faham (istilah teknikal).

"Soalan kami sangat mudah, bagaimana seorang calon ketua cabang boleh kalah sedangkan barisan dia yang bertanding untuk jawatan lain semua menang.

"Apa jawapan logik yang boleh diberi oleh pucuk pimpinan pusat. Ini yang kami nak tahu," kata salah seorang daripada mereka.

‘Sistem cai’ dalam pemilihan PKR

Seorang calon ketua cabang dari Perak berkata, adalah mustahil untuk menerima keputusan pelik berkenaan yang tidak pernah berlaku dalam tradisi pemilihan sebelum ini.

"Kamu kena faham pemilihan PKR. Parti ini sentiasa ikut sistem cai. Kalau calon ketua cabang menang, sudah pasti pasukan dia akan menang besar.

"Tak pernah dalam sejarah parti, calon ketua cabang kalah, tapi pasukan dia sapu semua atau menang kebanyakan jawatan," katanya.

Ditanya kenapa mereka tidak dapat menerima keputusan 'badan tanpa kepala itu, seorang calon ketua cabang dari Melaka menjelaskan bahawa pemilihan kali ini berbeza daripada sebelumnya.

"Kali ini, selepas pemilihan diumumkan, pemimpin yang berhasrat bertanding menyusun pasukannya. Kemudian, kita lantik ketua tempat mengundi dipanggil sebagai 'kapten'. Tugas kapten ini adalah menjaga pengundi di kawasan masing-masing.

"Sebagai contoh, katakan di Bandar Tun Razak, pemimpin ini berasal dari kawasan perumahan pangsapuri Desa Tun Razak, dia dilantik sebagai kapten di sana kerana dia tahu ahli parti di situ,” jelasnya.

Katanya lagi, kapten ini akan berjumpa ahli sebelum hari pemilihan bagi mengemas kini aplikasi Adil di telefon bimbit. Proses ini memerlukan bayaran RM2.60 untuk membolehkan ahli mengundi pada pemilihan cabang.

Katanya, ramai calon ketua cabang yang bertanding mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk makanan, upah dan 'duit kopi' kepada ahli yang mengundi kepadanya.

"Kamu kiralah, kalau kamu jumpa 3,000 ahli untuk kemaskini aplikasi, maksudnya kamu kena bayar RM7,800 untuk mengemaskini aplikasi sahaja. Pada hari mengundi, kapten ini akan turun ke rumah ahli. Kebiasaannya, kami tak benar ahli mengundi, sebaliknya kapten ambil telefon mereka, masuk OTP dan ambil selfie mereka, sebelum undi.

"Selepas undi, kapten ambil gambar atau video aplikasi dihantar kepada calon ketua cabang sebagai bukti ahli itu undi kepada barisan kami.

"Kerana itu kami sangat pasti berapa undi kami dapat dalam pemilihan cabang ini,” katanya.

Dia mendakwa di Perak, ada calon ketua cabang mempunyai bukti mendapat lebih 500 undi, tetapi keputusan rasmi menunjukkan hanya 200 undi diterima.

"Ini yang kami kata mustahil fenomena 'badan tanpa kepala' berlaku," katanya.

Dia turut mendakwa fenomena ini berlaku di lebih 70 cabang, menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

Keluarkan belanja besar

Seorang lagi calon dari Johor menyatakan rasa tidak puas hati kerana telah mengeluarkan belanja besar untuk bertanding.

"Untuk 3,000 ahli kamu kena bayar RM7,800. Kemudian, pada hari mengundi kena bagi seorang RM50 'duit kopi'.

"Ini pun sudah RM150,000. Tak termasuk bayaran kepada kapten, orang yang bantu kita, makanan, mesyuarat dan sebagainya sepanjang kempen pemilihan.

"Maksudnya, untuk 3,000 ahli kamu kena ada sekurang-kurangnya RM200,000 untuk bertanding. Ini yang semua marah, dahlah belanja berpuluh ribu. Ada bukti terima undi paling banyak. Tapi, sistem kata kamu kalah pula," katanya.

JPP belum jawab aduan

Kesemua calon yang ditemui mengesahkan mereka masih belum menerima maklum balas rasmi daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung aduan yang dikemukakan.

"Kalau kami tak silap ada lebih 280 aduan dibuat melalui talian. Setiap aduan perlu dibayar RM100. Lepas buat aduan, kami terima maklum balas JPP yang berkata mereka telah terima aduan dan akan siasat. Itu sahaja.

"Tapi sehingga hari ini kami belum dapat sebarang maklum balas secara rasmi. Takkan kamu nak buat kenyataan umum kata semua kes dah selesai.

"Setiap kes berbeza. Bukan semuanya pasal 'badan tanpa kepala'," jelasnya.

Katanya sebagai contoh, di cabang Kuala Kedah dan Jasin, jumlah undi didakwa melebihi jumlah kertas undi yang dikeluarkan. Di cabang Bukit Gantang pula, terdapat rakaman video seorang ahli parlimen bukan PKR mengatur jamuan untuk ahli PKR serta mengumumkan calon yang akan ditaja bertanding dalam pemilihan.

Satu lagi kes dibangkitkan ialah melibatkan Akmal Nasir, yang tewas dalam pemilihan ketua cabang Johor Bahru.

"Akmal berkata kapten telah merekodkan setiap undi melalui Borang 14 yang diusahakan pasukan kami sebagai dokumen yang boleh diterima pakai oleh proses undang-undang.

"Berdasarkan rekod tersebut, jumlah undian untuk Akmal sebagai ketua cabang adalah sebanyak 949 undian. Tapi dalam sistem dia cuma dapat 587 undi sahaja.

"Setiap undi yang diberikan kepada saya dan pasukan juga disertakan dengan rekod tangkap layar dan tandatangan pengakuan sebagai bukti. Seperti kita semua tahu, JPP tak jelaskan aduan Akmal, sebaliknya hanya membuat kenyataan keputusan MPP muktamad," katanya.

Penjelasan rasmi PKR

Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh dan Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustapa untuk mendaptkan komen.

Fuziah berkata, dia hanya akan memberikan komen selepas laporan ini disiarkan, manakala Zaliha masih tidak memberikan sebarang respons..

Pada 5 Mei, Fuziah mengesahkan bahawa MPP telah memutuskan untuk menerima keputusan pemilihan cabang yang dipertikaikan.

Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan bagaimana keputusan itu dibuat.

Susulan itu, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menyatakan bahawa keputusan pemilihan diterima dengan baik oleh kepimpinan, termasuk pihak yang kalah. Dia menegaskan sistem rantaian digital (blockchain) yang digunakan adalah selamat dan bebas daripada manipulasi.

Katanya integriti sistem adalah utuh, tiada bukti gangguan pihak luar atau kecacatan dalam pengundian elektronik.

Pada 7 Mei, juruaudit bebas Yinuo Technology melaporkan bahawa sistem e-undi PKR berfungsi dengan baik, walaupun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.

Audit tersebut menilai sistem, keselamatan, protokol, serta kebolehpercayaan operasi, termasuk proses e-KYC, aplikasi pengundian, dan sistem blockchain.

Audit terhadap keseluruhan proses pengundian dan tingkah laku pihak terlibat tidak menemui sebarang bukti kukuh berlakunya salah laku atau penyelewengan. Prosedur audit dalaman juga telah disemak dan didapati dilaksanakan dengan memuaskan.

Beberapa masalah kecil seperti paparan nombor calon yang tidak betul, mesej aplikasi yang mengelirukan, dan perbezaan masa telah dikenal pasti dan dianalisis. Namun, masalah ini hanya melibatkan paparan antaramuka (interface) dan tidak menjejaskan sistem pengiraan undi atau keputusan undi sebelum ini.

Kesimpulannya, Yinuo menyatakan bahawa sistem e-undi telah mencapai objektifnya untuk merekod dan mengira undi secara selamat dan telus.

Ulasan