MCMC berhak siasat hantaran bersifat provokatif


Pengumuman
MCMC berhak siasat hantaran bersifat provokatif
Diterbitkan: May 4, 2025 3:48 PM

Sebarang kritikan terhadap tokoh awam adalah dibenarkan selagi ia berlandaskan kepada fakta yang sahih, disampaikan secara beretika, serta disampaikan melalui saluran betul dan sah.

Justeru, peguam Muhammad Aidil Akmal Sharidan berkata, MCMC mempunyai kewajaran untuk menyiasat pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad, selepas membuat tawaran untuk ‘melondehkan’ sumber kewangan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

“Ramai yang tanya kenapa MCMC siasat Aliff Ahmad lepas dia buat posting nak scrut Nurul Izzah. Katanya itu hak rakyat nak tanya.

“Boleh nak soal, (tetapi) soal dengan adab. Kalau ada bukti, buat laporan, tetapi kalau kau bawa ke media sosial, tanpa bukti, ditambah dengan gaya provokatif; itu kategori gangguan atau cubaan menjatuhkan reputasi.

“Kalau cara kita bersuara tu boleh jejaskan orang lain tanpa bukti, atau sekadar nak naikkan engagement, maka pihak berkuasa memang ada hak nak siasat. MCMC tak boleh tunggu benda dah meletup baru nak bertindak,” katanya pada hantaran di media sosial.

Menurut Muhammad Aidil, sekiranya Nurul Izzah disyaki melakukan sebarang kesalahan, beliau wajar diadukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun, katanya, Aliff dilihat melakukan sebaliknya apabila dia seolah-olah membuat ugutan halus terhadap Nurul Izzah dalam hantaran di Facebook.

“Kalau salah biarlah SPRM siasat. Jangan ajak orang ramai kongsi hantaran supaya tekanan semakin tinggi. Itu bukan soal siasat, itu public shaming.

“Masalah hantaran itu ialah tawaran Aliff yang menyatakan jika mendapat 20,000 perkongsian, dia akan dedahkan dari mana Nurul Izzah dapat duit buat perniagaan dan lain-lain.

“Perkara ini boleh dianggap seperti ugutan halus; kalau ramai kongsikan, aku akan buka aib dia,” katanya.





Peguam Muhammad Aidil Akmal Sharidan menegah orang ramai menyalahgunakan hak kebebasan bersuara

Menurutnya, Aliff disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana dia mungkin melanggar seksyen 233.

Kata beliau, orang ramai ditegah menyalahgunakan hak kebebasan untuk bersuara dan memburukkan orang lain dengan sesuka hati.

Tambah peguam itu, untuk kes Nurul Izzah, ia tidak melibatkan unsur 3R (kaum, agama dan raja).

“MCMC siasat sebab nada dan gaya hantaran Aliff mungkin melanggar seksyen 233.

“Tanya boleh, tetapi tanya elok-elok. Nak tegur, tegurlah, tetapi jangan berifat provokasi,” katanya.

Menurut Muhammad Aidil dia menyatakan pandangan sedemikian bukan terpengaruh atau berasaskan faktor politik sebaliknya menyedari tanggungjawab yang dipikul.

“Kita semua ada hak bersuara, tetapi hak itu datang dengan tanggungjawab,” katanya.

Muhammad Aidil turut menjelaskan bahawa akuan bersumpah (SD) dibuat Aliff tidak mencukupi untuk menggantikan siasatan rasmi.

Katanya, pihak berkuasa masih perlu menyiasat bukti lain. Misalnya daripada mesej, sumber maklumat dan konteks penuh.

Aliff sebelum ini membuat tawaran untuk membuat carian mengenai kerja dan sumber pendapatan Nurul Izzah melalui sistem dikenali sebagai Scrut Analytica.

Beliau yang merupakan pengasas bersama Scrut Analytica dipanggil hadir ke MCMC pada 25 April lalu untuk membantu siasatan.

Ulasan