MEF bimbang kemungkinan fenomena 'job hopping' pekerja asing


MEF bimbang kemungkinan fenomena 'job hopping' pekerja asing
Oleh Essa Abu Yamin - Mei 10, 2025 @ 9:43am

Bagi memastikan pertukaran kerja dalam kalangan pekerja asing dilakukan secara adil dan teratur, beberapa perkara boleh dilakukan oleh kerajaan termasuk hanya membenarkan pertukaran selepas pekerja melengkapkan tempoh perkhidmatan minimum sekurang-kurangnya dua tahun dengan majikan asal - MEF. Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membenarkan pekerja asing untuk memohon pertukaran majikan merentasi sektor penggajian perlu dilaksanakan dengan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan yang ketat bagi mengelakkan penyalahgunaan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata langkah itu adalah pendekatan pragmatik untuk menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor kritikal seperti perladangan, pembinaan dan pembuatan.

"Dasar itu akan meningkatkan mobiliti tenaga kerja asing, membolehkan kekosongan jawatan diisi dengan lebih pantas dan mengurangkan kebergantungan terhadap kemasukan pekerja baharu dari luar negara yang sering berdepan isu birokrasi.

"Dasar itu juga dilihat sebagai jalan penyelesaian kepada situasi pekerja asing yang terkandas akibat majikan asal tidak lagi mampu menyediakan pekerjaan akibat kekangan kewangan atau penutupan operasi.

"Dengan adanya kebenaran sah untuk bertukar majikan dan sektor, pekerja asing boleh meneruskan pekerjaan secara bermaruah dan mengelak eksploitasi oleh pihak ketiga," katanya kepada BH, hari ini.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kerajaan meluluskan dasar baharu yang membenarkan pertukaran pekerja asing antara majikan merentasi pelbagai sektor pekerjaan.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, dasar berkenaan juga membawa beberapa implikasi terhadap kestabilan pasaran buruh dan produktiviti, sekiranya tidak dikawal rapi.

Sektor pembinaan, ladang berisiko hilang pekerja

"Sektor seperti perladangan dan pembinaan berisiko kehilangan pekerja sekiranya pekerja asing memilih berpindah ke sektor lain yang menawarkan gaji lebih tinggi dan beban kerja lebih ringan.

"Kecenderungan itu boleh mengakibatkan ketidakseimbangan tenaga kerja, menyebabkan sektor-sektor berintensif buruh terus bergelut dengan kekurangan pekerja," katanya.

Dalam pada itu, Syed Hussain turut menyuarakan kebimbangan terhadap fenomena 'job hopping' dalam kalangan pekerja asing yang mungkin berpindah sesuka hati tanpa mengambil kira pelaburan majikan dalam latihan dan pembangunan kemahiran mereka.



"Perkara itu boleh menjejaskan produktiviti, terutamanya dalam sektor yang memerlukan kemahiran teknikal tertentu.

Keputusan kerajaan membenarkan pekerja asing untuk memohon pertukaran majikan merentasi sektor penggajian perlu dilaksanakan dengan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan yang ketat bagi mengelakkan penyalahgunaan. - Foto hiasan NSTP

Wajibkan dua tahun minimum dengan majikan asal

"Bagi memastikan pertukaran dilakukan secara adil dan teratur, beberapa perkara boleh dilakukan oleh kerajaan termasuk hanya membenarkan pertukaran selepas pekerja melengkapkan tempoh perkhidmatan minimum (sekurang-kurangnya dua tahun) dengan majikan asal," katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga boleh mewujudkan satu sistem digital berpusat di bawah seliaan kerajaan untuk merekod dan menjejak semua permohonan pertukaran.

"Kerajaan juga boleh membabitkan majikan asal dalam proses pertukaran secara rasmi melalui pengesahan atau persetujuan bertulis.

"Dasar itu juga perlu menetapkan syarat kelayakan ketat bagi pekerja seperti rekod prestasi baik dan bebas daripada sebarang siasatan undang-undang dan melaksanakan audit berkala serta pemeriksaan mengejut bagi memastikan syarat kerja dipatuhi selepas pertukaran," katanya.

Mengulas mengenai kesan kepada kos pengambilan dan latihan semula, beliau berkata dasar berkenaan boleh mengurangkan beban kos majikan dalam jangka panjang.

"Majikan tidak lagi perlu menanggung kos tinggi seperti visa, tiket penerbangan dan latihan asas kerana pekerja sedia ada telah menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja tempatan.

"Perkara itu juga perlu membabitkan keperluan mekanisme kolaborasi antara majikan untuk menilai kelayakan pekerja yang ingin bertukar sektor bagi mengelak pertindihan latihan dan isu disiplin.

Katanya, kerajaan juga wajar untuk mengekalkan keseimbangan dalam agihan tenaga kerja asing dengan memberi perlindungan dasar kepada sektor-sektor strategik.

"Insentif untuk mengekalkan pekerja, kuota khas dan pelaksanaan dasar pertukaran yang lebih ketat perlu dilaksanakan agar sektor-sektor penting tidak terjejas.

"Saluran aduan rasmi dan panel timbang tara perlu diwujudkan bagi menyelesaikan pertikaian antara majikan asal, pekerja dan majikan baharu secara cepat dan adil.

"MEF komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam memastikan pelaksanaan dasar berkenaan memberi manfaat optimum tanpa menjejaskan kestabilan pasaran buruh negara," katanya.

Ulasan