Mesti dimerdekakan dari ancaman vape yang membunuh


Mesti dimerdekakan dari ancaman vape yang membunuh
May 2, 2025

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Kerajaan Negeri Terengganu dalam memperluaskan kawalan terhadap penjualan dan penggunaan vape.

Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, langkah itu bukan sahaja selari dengan Maqasid Syariah dalam menjaga jiwa, akal, keturunan, harta dan agama, malah amat bertepatan dalam mendepani realiti semasa yang membimbangkan.

“Bahaya vape yang semakin meruncing perlu ditangani segera, demi menyelamatkan generasi akan datang. Semoga usaha berani dan berpandangan jauh ini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

“Ayuh kita bersama-sama memerdekakan negara dari ancaman vape yang membunuh!” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Terengganu tidak dapat mengharamkan individu daripada menghisap vape kerana bidang kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah terletak di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kuasa yang ada pada kerajaan negeri hanya terbatas kepada pengawalan lesen perniagaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), bukan menggubal akta atau enakmen untuk mendakwa individu.

“Justeru, dalam ruang kuasa yang ada, Kerajaan Negeri Terengganu telah melakukan yang terbaik, termasuk tidak mengeluarkan lesen penjualan vape, melarang iklan, dan mengenakan tindakan penguatkuasaan di peringkat PBT.

“Langkah ini adalah bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam memelihara kesihatan dan kesejahteraan rakyat, meskipun dalam keterbatasan bidang kuasa yang ada,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan akan melaksanakan larangan sepenuhnya penjualan vape di semua premis perniagaan dalam kawasan PBT di seluruh negeri itu, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penguatkuasaan tersebut merupakan langkah proaktif dalam membendung penjualan dan penggunaan produk vape.

Menurutnya, vape memberi kesan negatif terhadap kesihatan rakyat terutama golongan muda, oleh itu mana-mana pengusaha vape yang masih menjalankan aktiviti perniagaan selepas tempoh larangan dikuatkuasakan akan dikenakan tindakan tegas.

Jelasnya, iaitu mengikut undang-undang kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu hukuman kompaun, sita dan pendakwaan di mahkamah. – HARAKAHDAILY 2/5/2025

Ulasan