'Mexico bukan untuk digadai, dijual…' - Presiden Sheinbaum tolak tawaran Trump


'Mexico bukan untuk digadai, dijual…' - Presiden Sheinbaum tolak tawaran Trump
04 Mei 2025 11:47am
Masa membaca: 3 minit

Presiden Sheinbaum mendedahkan beliau telah menolak tawaran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghantar tentera AS ke Mexico bagi membantu memerangi kegiatan pengedaran dadah. Gambar fail Reuters

MEXICO CITY - Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mendedahkan beliau telah menolak tawaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghantar tentera AS ke Mexico bagi membantu memerangi kegiatan pengedaran dadah.

Bercakap dalam satu acara awam pada Sabtu, Sheinbaum berkata, Trump menghubunginya dan bertanya bagaimana beliau boleh membantu memerangi jenayah terancang, sebelum mencadangkan agar tentera Amerika dihantar ke Mexico.

Namun, Sheinbaum menolak tawaran itu dengan tegas dan berkata kepada Trump: “Kami tidak akan sesekali menerima kehadiran tentera Amerika Syarikat di wilayah kami.”

“Saya memberitahunya, ‘tidak, Presiden Trump. Wilayah kami tidak boleh dicabuli, kedaulatan kami tidak boleh digadai dan ia bukan untuk dijual,’” katanya lagi.

Kenyataan Sheinbaum itu dibuat sehari selepas The Wall Street Journal melaporkan Trump didakwa mendesak Mexico supaya membenarkan “penglibatan ketenteraan AS yang lebih mendalam” dalam usaha membanteras kartel dadah.

Memetik sumber yang enggan dinamakan, laporan itu menyebut ketegangan meningkat dalam panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin pada 16 April lalu, apabila Trump dilaporkan mahu tentera AS memainkan peranan utama dalam memerangi kumpulan pengedar dadah yang menghasilkan dan menyeludup fentanyl ke Amerika.

Sejak kembali ke jawatan Presiden pada Januari lalu, Trump kerap menyalahkan dua negara jiran Mexico dan Kanada dalam isu pengedaran dadah, khususnya fentanyl, yang didakwa dibawa masuk secara haram ke AS melalui sempadan.

Pentadbiran Trump turut mengaitkan isu penyeludupan dadah dengan usaha mengenakan tarif tinggi ke atas barangan dari Mexico dan Kanada.

Dalam perbualannya dengan Trump, Sheinbaum berkata, beliau menawarkan kerjasama melalui perkongsian maklumat yang lebih erat.

Pada masa sama, beliau menggesa AS agar mengambil langkah lebih tegas menghentikan penyeludupan senjata rentas sempadan yang menyumbang kepada gelombang keganasan di Mexico.

“Trump telah mengeluarkan arahan pada Jumaat untuk memastikan segala langkah diambil bagi menghalang kemasukan senjata dari Amerika Syarikat ke Mexico,” katanya.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS memberitahu agensi berita Reuters bahawa Trump telah menyatakan dengan jelas Mexico perlu melakukan lebih banyak usaha memerangi kartel dan AS bersedia memperluas kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara.

“Trump juga bekerjasama rapat dengan Presiden Sheinbaum bagi memastikan sempadan barat daya paling selamat dalam sejarah,” ujar jurucakap itu.

Namun begitu, jurucakap itu turut memberi amaran bahawa kumpulan pengganas asing yang berbahaya terus mengancam keselamatan bersama, dengan pengedaran dadah dan jenayah yang memberi kesan kepada komuniti di seluruh AS.

Sementara itu, Trump terus melaksanakan pelan kontroversinya untuk menjalankan “operasi pengusiran terbesar dalam sejarah AS” meskipun berdepan cabaran undang-undang terhadap dasar anti-imigrasi yang tegas.

Jabatan Pertahanan AS juga mengumumkan minggu ini bahawa satu lagi kawasan di sempadan dengan Mexico telah diisytihar sebagai zon ketenteraan bagi menguatkuasakan undang-undang imigresen. Zon baharu itu terletak di negeri Texas dan bersempadan dengan pangkalan tentera Fort Bliss di El Paso.

Seperti zon pertama yang ditubuhkan bulan lalu di New Mexico, anggota tentera dibenarkan menahan pendatang tanpa izin sehingga mereka diserahkan kepada pihak berkuasa imigresen sivil di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS. - Al Jazeera/ Awani

Ulasan