‘NFA’ kes serangan asid Faisal Halim satu titik hitam

‘NFA’ kes serangan asid Faisal Halim satu titik hitam
May 9, 2025


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia melahirkan rasa kecewa amat mendalam terhadap keputusan mengklasifikasikan siasatan kes serangan simbahan asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim sebagai ‘No Further Action’ (NFA).

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu adalah suatu titik hitam dalam sejarah sukan negara.

“Keputusan ini bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia, bahkan memberi gambaran yang sangat membimbangkan terhadap tahap keselamatan awam serta kebertanggungjawaban pihak berkuasa dalam menangani jenayah berat yang berlaku secara terang-terangan.

“Apakah benar Malaysia sebuah negara hukum jika tiada pembelaan dan keadilan kepada rakyat dalam kes seperti ini? Kes ini telah menggemparkan negara dan melibatkan kecederaan serius ke atas mangsa yang menjadi inspirasi ramai anak muda Malaysia.

“Maka, adalah sangat tidak wajar jika kes sebesar ini ditutup tanpa sebarang pendakwaan atau penjelasan yang munasabah kepada umum,” katanya dalam kenyataan tersebut, semalam.

Beliau menggesa kerajaan memberikan penjelasan mengenai perkara itu di Parlimen kerana kes itu bukan soal Faisal Halim semata-mata, tetapi adalah keselamatan seluruh atlet yang merupakan tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Dalam Negeri.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional itu juga berkata, pihak berkuasa mesti bertindak menurut neraca keadilan dan menjadi tanggungjawab negara memberi jaminan keselamatan kepada rakyatnya, tanpa mengira siapa dan apakah latar belakangnya.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara (AGC) mesti membentangkan kepada rakyat mengenai asas kepada keputusan NFA yang dikeluarkan.

“PDRM dan AGC perlu tampil memberikan penjelasan terbuka untuk mengelakkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhakis terhadap pihak berkuasa,” jelasnya.

Beliau berkata, Pemuda PAS berharap pihak berautoriti dapat melaksanakan tuntutan itu dalam kadar segera dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan jika kerajaan tidak memandang serius perkara berkenaan.

“Jangan sampai rakyat mengalami defisit kepercayaan kepada pihak berkuasa, hanya kerana kegagalan dan sikap sambil lewa kerajaan dalam menjamin dan memastikan keselamatan warganya,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2025

Ulasan