Nilai ambang URA dipersoal, KPKT timbulkan syak


Nilai ambang URA dipersoal, KPKT timbulkan syak
May 19, 2025

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyuarakan kebimbangan serius terhadap kebisuan KPKT) berhubung nilai ambang (threshold value) yang dicadangkan dalam RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri menyifatkan Rang Undang-undang (RUU) itu bakal memberi kesan langsung kepada pemilikan hartanah di kawasan bandar.

Menurutnya, keengganan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan nilai ambang tersebut menimbulkan syak wasangka terhadap ketelusan kerajaan.

Sekali gus kata beliau, mencetuskan kebimbangan besar terhadap kemungkinan pelanggaran hak pemilik asal dan risiko eksploitasi pemindahan hartanah secara besar-besaran.

“Nilai ambang yang tidak adil boleh membuka ruang kepada pemindahan milikan tanpa kerelaan penuh pemilik asal, sekaligus menggugat hak rakyat marhaen di kota,” katanya dalam kenyataan media.

Sebagai reaksi terhadap kebuntuan ini, Dewan Pemuda PAS mengumumkan tiga langkah utama iaitu, siri himpunan aman dan serahan memorandum serta mengemukakan cadangan alternatif.

“Pemuda PAS akan meneruskan siri himpunan aman di peringkat negeri sebagai persediaan menjelang himpunan besar di Kuala Lumpur yang dijadualkan pada 14 Jun 2025.

“Ini bertujuan mendesak kerajaan memberikan jawapan tuntas sebelum ‘blue bill’ RUU URA dibentangkan di Parlimen. Pemuda PAS Kawasan seluruh negara juga akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Ahli Parlimen masing-masing.

“Ia agar isu ini dibahaskan secara mendalam dalam sidang Dewan Rakyat akan datang. Manakala Ketua Pemuda PAS Malaysia akan membentangkan satu cadangan alternatif terhadap URA yang lebih adil dan berpaksikan maqasid syariah serta prinsip keadilan sosial,” ujarnya.

Dewan Pemuda PAS juga katanya, turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan anak muda di bandar, agar kekal cakna dan bersama dalam mempertahankan hak milik tanah serta kediaman rakyat.

“Isu ini bukan hanya soal teknikal atau pentadbiran, tetapi menyentuh masa depan generasi akan datang. Kami tidak akan berdiam diri,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 19/5/2025

Ulasan