Nurul Izzah penyelamat atau pencetus gelombang perpecahan PKR?

Nurul Izzah penyelamat atau pencetus gelombang perpecahan PKR?

08 Mei 2025 08:00am
Masa membaca: 4 minit

BIARPUN proses pencalonan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan jawatan 'Top Six' baharu akan berlangsung pada Khamis dan Jumaat, namun bahang pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kian panas.

Ini susulan majoriti ketua cabang dari beberapa negeri seperti Melaka, Perak, Selangor, Sabah, Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur secara tiba-tiba menamakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden seterusnya.

Pencalonan Nurul Izzah juga mendapat sokongan ramai pemimpin PKR termasuklah Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek; dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Hamid.

Justeru, ramai penganalisis politik melihat fenomena itu memberi isyarat jelas bahawa Nurul Izzah sudah mendapat restu daripada pucuk kepimpinan parti untuk memegang jawatan nombor dua PKR.

Malah, tidak mustahil penyandang semasa kerusi itu merangkap Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, akan menarik diri daripada bertanding biarpun beliau sudah mengesahkan menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti nanti.

Begitu juga dengan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang sehingga kini masih berteka-teki sama ada beliau mahu merebut jawatan Timbalan Presiden PKR sekali lagi selepas gagal berbuat demikian pada pemilihan parti penggal lalu.

Di sebalik sokongan majoriti yang diterima Nurul Izzah, timbul persoalan sebenar: adakah ini suara tulen akar umbi, atau sekadar ‘permainan’ politik elit menjelang pemilihan?

Ini kerana semua orang tahu bahawa Nurul Izzah bukan sahaja mempunyai pengaruh besar dalam parti, malah beliau ialah anak sulung kepada Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 (PMX).

Justeru, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr. Mazlan Ali berpandangan adalah lebih baik jika Nurul Izzah memenangi jawatan Timbalan Presiden menerusi pemilihan parti dan bukan diberikan laluan mudah oleh pencabarnya.

Tegas Mazlan, sekiranya Nurul Izzah menang jawatan Timbalan Presiden menerusi pemilihan, maka ia secara tidak langsung akan menutup mulut pengkritik dan pemimpin pembangkang yang mendakwa PKR mengamalkan budaya nepotisme.

Bagaimanapun, segalanya masih bergantung kepada keputusan akhir Puteri Reformasi itu.

Ini kerana beliau masih belum membuat keputusan muktamad sama ada mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden atau mempertahankan kerusi Naib Presiden yang disandangnya sekarang.

Keputusan yang bakal diumumkan oleh Nurul Izzah dalam sehari dua lagi dilihat bakal memberi impak besar bukan sahaja kepada hala tuju dan kepimpinan PKR dan PH, tetapi juga kepada landskap politik dan pentadbiran negara secara keseluruhan.

Jika Nurul Izzah ditakdirkan memegang kerusi nombor dua dalam PKR, maka banyak pihak melihatnya sebagai batu loncatan kepada kepimpinan tertinggi parti dan kerajaan dalam masa terdekat.

Sebagai Timbalan Presiden, Nurul Izzah akan menjadi calon utama menggantikan ayahandanya sebagai Presiden PKR dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Bukan itu sahaja, beliau juga berpotensi diangkat sebagai Pengerusi PH dan jika disokong oleh majoriti Ahli Parlimen selepas PRU16, berkemungkinan besar menjadi Perdana Menteri wanita pertama dalam sejarah Malaysia.

Namun, laluan Nurul Izzah untuk menduduki jawatan Timbalan Presiden PKR tidaklah semudah disangka sekiranya beliau bertekad hendak bertanding.

Ini kerana ada kemungkinan berlaku sabotaj dalaman dengan beliau mungkin ditolak oleh perwakilan yang skeptikal terhadap unsur dinasti politik.

Sekiranya Nurul Izzah memilih untuk bertanding tetapi kalah, kesannya bukan kecil kerana ia boleh membawa mesej penolakan terbuka terhadap pengaruh keluarga dalam parti, yang sekali gus mencalar kredibiliti Anwar sebagai Presiden PKR dan PMX.

Kekalahan ini juga boleh dijadikan ‘peluru’ oleh pembangkang yang telah lama mendakwa PKR mengamalkan politik keluarga, sekali gus meretakkan kepercayaan rakyat terhadap integriti moral parti itu.

Justeru itu, ramai melihat pencalonan Nurul Izzah bukan sekadar soal mengisi jawatan Timbalan Presiden PKR semata-mata.

Namun, langkah berkenaan ialah suatu pertaruhan besar antara idealisme dan politik realiti, antara harapan membina masa depan lebih progresif dan risiko membenarkan bayangan politik keluarga mendominasi reformasi.

Puteri Reformasi mungkin kembali ke pentas utama, namun babak seterusnya bakal menentukan sama ada beliau menjadi penyatu parti atau pencetus gelombang baharu dalam episod lama perpecahan dalaman PKR.

Ulasan