Pemilihan parti PKR buka mata rakyat


Pemilihan parti PKR buka mata rakyat
May 19, 2025

HEBAT betul Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang. Nampaknya, bukan pembangkang atau ‘musuh luar’ yang perlu bersusah payah menyerang, sebab pemimpin mereka sendiri sedang sibuk menembak sesama sendiri. Yang terbaru, episod pertelagahan Rafizi Ramli dan Nurul Izzah — dua watak yang satu ketika dulu diangkat sebagai ‘wajah masa depan reformasi’ — kini jadi wajah drama dalaman yang tak berkesudahan.

Rafizi, yang dulu terkenal dengan slogan ‘reset ekonomi’, kini nampaknya lebih berminat nak reset proses pemilihan dalam parti sendiri. Beliau secara terbuka mempertikai kewibawaan proses pemilihan PKR, kononnya penuh masalah teknikal, manipulasi dan tidak telus. Eh, tunggu sekejap… bukankah ini parti yang selalu melaungkan demokrasi tulen, ketelusan, reformasi dan segala macam kata-kata syurga? Tapi bila bab rumah sendiri, terus kelam-kabut, gegak-gempita macam pasar borong hujung minggu.

Nurul Izzah pula tak duduk diam. Seakan membalas, kenyataan beliau menyerlahkan rasa tak senang terhadap ‘serangan dalaman’ yang sepatutnya boleh dibincang dalam mesyuarat, bukan diumumkan macam kempen PRU. Ironi sungguh. Parti yang kononnya memperjuangkan keterbukaan, tiba-tiba suruh diam dan bincang dalam bilik gelap bila terkena batang hidung sendiri.

Persoalannya sekarang, kalau urus parti sendiri pun lintang-pukang, huru-hara, bertikam lidah dalam media, macam mana nak yakinkan rakyat bahawa mereka mampu urus negara?

Atau mungkin benar, PKR kini singkatannya telah berubah — ‘Penuh Kekecohan Rakyat’.

Satu nasihat ikhlas buat mereka yang terlibat: sebelum sibuk nak ‘menyusun semula Malaysia’, eloklah selesaikan dulu susun atur kerusi dalam rumah sendiri. Jangan nanti rakyat tengok, bukan saja kabinet negara yang kucar-kacir, kabinet parti pun tak cukup skru.

Umno: Dari parti keramat ke parti penumpang

Waktu Johari Ghani dengan penuh yakin mengisytiharkan bahawa Anwar Ibrahim akan terus menjadi Perdana Menteri untuk penggal kedua, ramai terdiam. Bukan sebab teruja, tapi sebab tertanya-tanya — bila masa Umno dah jadi jurucakap rasmi survival politik PKR?

Umno yang dulu gah sebagai tunjang kerajaan, kini nampaknya lebih selesa jadi penumpang dalam kereta yang dipandu oleh PKR. Dulu sibuk cakap nak reform, nak bangkit semula sebagai parti dominan Melayu, nak perbaiki imej selepas PRU14. Tapi sekarang, belum pun sempat bernafas dengan selesa, sudah siap-siap tempah tempat duduk di belakang pemandu. Siap jadi cheerleader untuk Perdana Menteri dari parti lawan pula.

Johari Ghani kata Anwar layak terus jadi PM. Hebat. Mewakili suara siapa tu? Ahli Umno ke, atau penyokong PKR yang tersesat dalam mesyuarat agung? Dah tak ada langsung cita-cita nak tengok Presiden UMNO jadi PM lagi? Atau Umno sekarang hanya berani bercakap lantang tentang pemilihan jawatan dalam Persatuan Penduduk, tapi bila bab kepimpinan negara — serah bulat-bulat kepada orang luar.

Realitinya, Umno kini bukan lagi parti yang menentu arah. Ia parti yang ‘menumpang arah’. Dulu orang cakap PKR ni tak stabil, banyak kem, banyak konflik dalaman. Sekarang, PKR pula yang sibuk rancang masa depan negara, manakala Umno sibuk merancang masa depan… di bawah ketiak PKR.

Lebih tragis, ketika PKR sendiri sedang bergolak — Rafizi hentam sistem pemilihan, Nurul Izzah bagi sindiran halus — Umno pula tenang, bukan sebab mereka kukuh, tapi sebab dah tak ada nyawa nak bergaduh pun. Ibarat orang yang dah terlalu penat, akhirnya pasrah ikut saja siapa yang pegang tali.

Jadi, kalau nak tanya: Adakah Umno masih ada hasrat nak bangkit semula sebagai parti utama? Jawapannya mudah — bangkit macam mana kalau dah selesa jadi pelapik kusyen kerajaan orang?

DAP melangkah dengan penuh agenda

Kalau ada satu parti yang tahu ke mana arah tuju mereka, walaupun dalam kerajaan yang separuh stabil dan penuh sandiwara, jawapannya mudah — DAP.

Sedang PKR sibuk bertikam lidah antara Rafizi dan Nurul Izzah, dan Umno pula asyik berzikir “setia kepada Anwar” sambil perlahan-lahan mengikis sisa maruah parti, DAP tenang melangkah… tapi jangan silap — mereka melangkah dengan penuh agenda.

Dalam diam, DAP bijak memainkan peranan — bukan sebagai pemain depan yang menjerit-jerit konon mahu selamatkan negara, tetapi sebagai dalang tenang yang satu demi satu berjaya menembusi sistem: pendidikan, bahasa, ekonomi, dasar sosial, malah kedudukan agama pun sudah mula ‘dibincang secara progresif’. Semua atas nama Malaysia Madani — satu jenama yang cukup canggih untuk menyembunyikan segala bentuk pencairan identiti negara.

Sementara pemimpin Melayu sibuk bertolak ansur demi kekal relevan dalam kabinet, DAP tak perlu menjerit — cukup dengan satu dua kenyataan media, dan selebihnya kerja dilaksanakan secara ‘policy penetration’. Licin, senyap, tapi sangat strategik. Hebat, kan?

Dan yang lebih menghiburkan, rakan-rakan mereka dalam kerajaan bukan saja tidak sedar, malah membantu membuka jalan. Umno misalnya, bukan sahaja tak berani bersuara, tetapi kini lebih selesa jadi benteng pertahanan DAP — ironinya, dari parti yang suatu masa dulu melaungkan “Hidup Melayu” kini jadi jurucakap kepada dasar yang makin menjauhkan Melayu dari kedudukan asal.

PKR pula? Sibuk bergaduh pasal sistem pemilihan parti, seolah-olah rakyat peduli siapa Ketua Cabang. Sementara itu, DAP teruskan agenda — satu demi satu. Dan bila ada yang tegur, jawapan standard pun keluar: “Ini fitnah perkauman. Jangan sentuh perpaduan nasional.” Padahal, perpaduan yang dimaksudkan itu hanya satu arah — semua perlu akur, jangan ganggu, jangan soal.

Akhirnya, siapa paling berjaya dalam kerajaan perpaduan ini?

Bukan Anwar.

Bukan Zahid.

Jawapannya mudah — DAP, yang melangkah perlahan tapi penuh agenda. Dan ya, semua orang sedang tepuk tangan, kononnya atas nama kemajuan.

PN sebagai pilihan masa depan rakyat

Di tengah kekalutan drama dalaman PKR dan ketundukan luar biasa Umno dalam kerajaan campuran yang kian longgar sendinya, satu perkara makin jelas — rakyat perlukan pilihan yang lebih waras, stabil dan berprinsip.

Masuklah Perikatan Nasional (PN), gabungan yang masih dipandang segar oleh rakyat kerana tidak terbabit dalam pesta lobi jawatan, pertelagahan dalaman yang tidak berkesudahan, mahupun budaya “tutup mulut demi jawatan”.

PN menunjukkan watak politik yang lebih konsisten. Di saat Pakatan Harapan sibuk jaga hati DAP dan Umno sibuk jaga jawatan dalam kabinet, PN kekal membangkitkan isu rakyat — kos sara hidup, subsidi yang diganggu, masalah integriti kerajaan, serta penyelewengan dasar. Daripada Parlimen hingga ke akar umbi, suara PN lebih dekat dengan denyut nadi rakyat biasa.

Umno sudah hilang identiti. PKR pula sedang hanyut dalam konflik dalaman. Maka, logiknya rakyat tidak mahu terus dipaksa memilih antara dua parti yang sudah hilang arah. Rakyat perlukan kepimpinan baharu yang tidak takut menegur, tidak sibuk menjaga ‘kesepakatan palsu’ semata-mata untuk kekal berkuasa.

Itulah PN — bukan sekadar alternatif, tetapi harapan yang tulen untuk masa depan.

Bukan harapan palsu berjenama reformasi. Bukan keramat yang sudah pudar auranya. Tetapi satu gerakan politik yang bersedia memimpin, bukan menumpang.

SIBAWAIH
Pemerhati politik bebas – HARAKAHDAILY 19/5/2025

Ulasan