
Pendekatan seluruh negara, perlu libat kerajaan negeri
Hadapi Tarif Amerika Syarikat
May 5, 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia yang dikenakan dasar tarif ‘sepihak’ setinggi 24 peratus oleh pentadbiran Kerajaan Amerika Syarikat ke atas semua import ke negara tersebut menuntut ia ditangani dengan pendekatan keseluruhan negara.
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berpandangan, tugas berat ini tidak mampu untuk dikendalikan secara ‘sepihak’ oleh Kerajaan Persekutuan, tetapi memerlukan pendekatan itu dalam aspek persediaan, pelarasan dan penyelarasan atau 3P.
Iaitu saran beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS, dengan melibatkan pemain industri, dewan perniagaan, kalangan teknokrat dan ahli akademik, termasuk pemegang taruh terpenting iaitu kerajaan-kerajaan negeri.
“Negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Johor, Perak, dan Melaka, yang merupakan pangkalan kepada pelbagai kluster industri – harus dilibatkan secara langsung dalam usaha penyelarasan dasar perdagangan, pelaburan dan pelabuhan.
“Manakala negeri-negeri yang kaya sumber seperti Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Pahang, yang banyak menyumbang kepada sektor komoditi, pertanian, sumber tenaga dan mineral.
“(Negeri-negeri ini) harus dilibatkan dalam diversifikasi eksport dan pembangunan industri hiliran,” ujarnya dalam perbahasan mengenai isu itu dalam Persidangan Khas Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.
Kerajaan negeri katanya, perlu diberikan maklumat awal dan terperinci mengenai sebarang perubahan dasar tarif luar negara, agar boleh menyusun semula insentif negeri, melaraskan reaksi pelaburan, serta membantu industri tempatan menyesuaikan diri dengan landskap dagangan yang lebih mencabar.
Menurut beliau, ada beberapa negeri sudah bergerak iaitu Selangor, Johor, Penang, sedang negeri-negeri lain perlu menyusul dengan pendekatan menyeluruh ini bagi memastikan penyelarasan antara semua.
Iaitu jelas Syahir, strategi perdagangan melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dasar fiskal menerusi Kementerian Kewangan (MOF) serta bersama Unit Perancangan Ekonomi (EPU).
Selain ujar beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS dengan melaksanakan diplomasi antarabangsa menerusi Wisma Putra dan pengupayaan ekonomi negeri melibatkan Unit Perancangan Ekonoji Negeri (UPEN) diwujudkan secara bersepadu.
“Malah, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan untuk mengadakan sidang khas DUN untuk membahaskan persiapan dan kesiapsiagaan di peringkat negeri. Ini penting supaya kerjasama negeri dan Persekutuan berlaku di atas prinsip kesaksamaan fiskal
dan federalisme yang bersifat ‘resiprokal’.
“Dengan Kerajaan Persekutuan berperanan sebagai pemudah cara (fasilitator) di peringkat global, manakala Kerajaan Negeri sebagai pelaksana (koordinator) di peringkat local,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 5/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan