
Pendidikan negara: PAS tampung kelompongan
Namun institusi pendidikan PAS dimusuhi pihak pemerintah
May 18, 2025
ALOR SETAR: Semua guru-guru di bawah institusi PAS, tidak boleh memisahkan diri masing-masing daripada politik walaupun sedetik, demikian antara saranan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, di sini.
Katanya, politik di dalam PAS adalah sebagai syariat dan akidah perjuangan, berbeza dengan politik parti lain yang hanya akan menjadikan manusia sebagai alat untuk kepentingan diri sendiri.
“Politik yang menjadikan manusia sebagai alat, hanya akan menjadi manusia itu untuk meraih undi semata-mata. Digula-gulakan manusia dengan pelbagai pemberian, projek, duit dan sebagainya dengan syarat perlu menyokong dan undi parti itu,” kata beliau.
Dalam masa sama menurutnya, hasil dan cukai dikutip daripada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, tetapi pengagihan hasil pembangunan berlaku sebaliknya, hanya kepada yang sama warna dan fahaman politik mereka sahaja.
“Sikap seperti itu zalim dan tidak adil. Negeri yang menyokong pembangkang, pembangunan disekat. Lihat sahaja di Kelantan, Terengganu yang dinafikan hak royalti petroleum, Kedah disusahkan dengan pelbagai biokrasi politik.
“Kenapa bawa politik yang susah begitu di tahun 2025 ini? Kerana pemikiran mereka yang di atas hanya mengambil kerangka pemerintah seperti di barat yang menjadikan manusia sebagai alat untuk raih keuntungan, kepentingan diri, undi, pilihan raya semata-mata,” tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas sempena Himpunan Pendidik Kebangsaan, Sambutan Hari Guru 2025, PAS Pusat, di Kompleks PAS Kedah, di sini, semalam.
Mengulas lanjut katanya, sikap sedemikian bukan sahaja zalim dan tidak adil, malah jauh dari cara pembangunan Islam, sedangkan pembangunan Islam mengambil manusia sebagai khalifah.
Serta ujarnya, memposisikan manusia sebagai pentadbir, penguasa, ketua masyarakat, ketua keluarga, ahli perniagaan dan lain-lain serta dalam masa yang sama tidak boleh dinafikan haknya sebagai hamba Allah.
Jelas Ahli Parlimen Alor Setar itu lagi, berlaku di beberapa sektor pekerjaan di Malaysia, di mana hak pekerja Islam untuk menunaikan solat Jumaat dinafikan.
Begitu juga katanya lagi, pekerja wanita tidak dibenarkan menutup aurat dan sekiranya berbuat demikian, diancam buang kerja dan akan hilang pekerjaan.
“Tidak dibenar untuk solat Jumaat, Sama ada yang bekerja di sektor pelancongan, industri atau lain-lain, kononnya, kalau solat Jumaat dua jam, rugi RM2 juta.
“Begitulah juga dengan sektor kesihatan, siapa yang kaya boleh mendapat khidmat rawatan kesihatan yang sempurna di hospital swasta. Giliran untuk mendapat rawatan cepat. Tunjuk ‘medical card’, terus masuk ke bilik doktor dan diberi rawatan segera.
“Siapa yang tak ada harta, tak ada ‘medical card’, tak ada insuran, beraturlah untuk dapatkan rawatan, tunggulah berbulan-bulan untuk dialisis atau pembedahan, sampai pesakit itu mati dahulu, baharu sampai giliran dia,” tambahnya lagi.
Atas sebab itulah jelas beliau, PAS merasa ada kelompongan besar terutama dalam kerangka pembangunan negara di mana manusia perlu dibentuk terlebih dahulu, dengan fungsi sebagai khalifah dan hamba Allah.
Oleh itu katanya, PAS menubuhkan institusi pendidikan yang diurusnya sendiri tanpa ada bantuan dari mana-mana pihak terutama pada peringkat awal penubuhan.
Justeru tegasnya, institusi pendidikan ditawarkan PAS, mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat dan masyarakat, yang bukan sahaja ahli parti itu, tetapi termasuk kepada tidak berparti dan ahli parti lain.
Diyakini rakyat, tapi diburukkan lawan politik
“Saya bawa contoh PASTI. Pelajar PASTI pada 2023 seramai 139,000 orang, tahun 2024 (141,000 orang) dan tahun 2025 bertambah ke 142,000 orang
“Jumlah premis PASTI dari 2023 hingga 2025, kekal 2,600 buah. Guru-gurunya pula, meningkat daripada 9,000 (2023) ke 10,740 orang pada tahun ini.
“Kalau PASTI itu wujud untuk menyesatkan manusia, mengancam keselamatan negara, memesongkan akidah, kenapa pelajar PASTI saban tahun semakin bertambah, guru juga bertambah,” soal beliau.
Penambahan itu jelasnya, membuktikan rakyat semakin percaya kepada PAS dan PASTI untuk mendidik anak-anak mereka berjaya di dunia dan akhirat.
Manakala pihak yang gerun dengan perkembangan institusi pendidikan PAS katanya, melakukan pelbagai serangan dari setiap penjuru, masuk ke premis PASTI, bersoal siasat dan soal jawab, menakut-nakutkan guru-guru dan pentadbir PASTI.
“Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, keluar satu kenyataan, mengatakan PASTI perlu disiasat pendaftaran dan tauliah gurunya, kerana bimbang PASTI ini boleh memesongkan akidah.
“PASTI disebut, kemudian disambung dengan cerita GISB, disusuli pula dengan kes dadah. Jadi nak tanya apa sebenarnya mesej yang kamu nak sampaikan kepada rakyat Malaysia?
“Adakah kamu nak beritahu PASTI menyesatkan orang ramai? adakah PASTI telah menggugat kestabilan negara? Atau sebenarnya kamu nak beritahu PASTI telah mengancam politik Umno.
“Oleh itu di atas pentas Himpunan Pendidik ini saya nak beritahu, kalau kamu nak berperang dengan PASTI dan institusi pendidikan PAS, silakan, kami sambut dan tunggu peperangan kamu.
“Sedikit pun kami tidak akan berganjak kebelakang,” tegas beliau bersemangat dan disambut dengan laungan takbir oleh para hadirin.
Namun, dalam pada itu, kata Afnan pihak berkenaan perlu sedar, PAS telah membantu mengisi kelompongan pendidikan dan meringankan beban negara
“Tiada upah dibayar, tiada gaji berjuta-juta ringgit, tidak naik jet peribadi, tidak melancong ke luar negara naik jet peribadi, jumpa presiden ni, presiden tu, PAS tak buat, sebab PAS tak ada duit.
“Tetapi dalam keadaan serba susah, serba kekurangan, PAS berusaha mendidik masyarakat mengenal Tuhan, di mana saja ada PAS, ada institusi pendidikan.
“Siapa yang lahir daripada institusi pendidikan PAS, apabila menyambung pelajar ke sekolah rendah dan menengah, akan menunjukkan prestasi yang tinggi dan cemerlang,” bidasnya lagi.
Oleh itu tidak hairanlah katanya, di Daerah Kota Setar, SRITI tampil di kedudukan tertinggi dalam peperiksaan UPKK di peringkat daerah dan negeri, termasuk pelajar yang cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Semua ini bukanlah lakonan yang dibuat-buat oleh kita,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 18/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan