
Penutupan kilang Continental Tyre ‘red flag’ kuasa beli rakyat?
May 2, 2025
PENUTUPAN kilang tayar Continental yang terletak di Alor Setar Kedah telah menjadi bahan persendaan dalam kalangan lasykar siber PH-BN yang mengejek kononnya syarikat itu menutup operasinya kerana ‘benci tengok muka MB Sanusi’.
Itu adalah tahap pemikiran politik rendah yang hanya memandang suatu isu yang berlaku hanya berkisar pada sentimen politik yang sempit dan naif, bukan dari sudut politik penyelesaian.
Kilang itu telah beroperasi sejak 1979 menunjukkan bahawa ia telah bertahan puluhan tahun namun akhirnya terpaksa menutup operasi.
Continental tidak memindahkan kilangnya itu ke negeri atau negara lain, membuktikan bahawa ia bukan suatu masalah yang berpunca dari Kerajaan Negeri Kedah, namun ia bertindak menutupnya, sekali gus mengecilkan lagi pengeluarannya.
Apa-apa isu berkaitan ekonomi harus dilihat secara mikro dan makro selain ia juga berkaitan antara satu faktor dengan faktor lain atau dipanggil ‘kesan berantai’.
Kita harus ingat bahawa berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Exco Industri dan Pelaburan Negeri Kedah, YB Dr Haim Hilman Abdullah bahawa kilang Continental itu mengeluarkan tayar dengan 70 peratus dari pengeluarannya untuk pasaran tempatan.
Kita perlu bimbang jika penutupan kilang Continental ini berkemungkinan satu signal atau ‘red flag’ terhadap isu berkaitan tahap kuasa beli rakyat secara umum untuk membeli tayar buatan jenama ini yang merupakan satu jenama premium yang terkenal dalam kalangan M40 dan T20.
Kita juga perlu melihat tentang kemungkinan ia adalah natijah daripada penghapusan subsidi diesel yang telah dilakukan dan juga petrol yang mungkin berlaku bila-bila masa dari sekarang terhadap golongan M40 dan T20 mengurangkan kuasa beli mereka kepada tayar-tayar jenama premium seperti ini.
Jika benar ia adalah kesan kepada kemampuan kuasa beli rakyat, maka ia berkemungkinan membayangkan ekonomi kita berdepan dengan masalah dan bakal menguncup secara perlahan-lahan walau pun pada masa ini ia didakwa kerajaan sedang berkembang.
Kita juga harus bimbang jika penutupan ini juga akan berjangkit kepada kilang-kilang atau pun industri-industri yang lain lebih-lebih lagi dalam situasi dunia berdepan ketidaktentuan terhadap kemungkinan kesan ‘perang tarif’ oleh pentadbiran baru Amerika Syarikat.
Malah, seperti yang kita maklum, pada 30 Jun tahun lepas satu lagi jenama tayar, Goodyear, juga telah menutup kilangnya di Shah Alam yang telah beroperasi lebih 52 tahun.
Penutupan kilang seperti yang berlaku ini bukan satu pesta sorak-menyorak dan sindir-menyindir antara negeri-negeri pembangkang atau negeri-negeri parti pro Kerajaan Pusat.
Jika benar penutupan itu disebabkan pengurangan dalam permintaan terhadap tayar Continental ianya adalah meliputi seluruh Malaysia, kerana kilang di Alor Setar bukan hanya untuk pasaran Kedah sahaja.
Umpama sebuah kapal yang pecah di bahagian belakang, mereka yang duduk di bahagian depan jangan bersorak atau menyalahkan orang di bahagian belakang kerana yang akan tenggelam adalah keseluruhan kapal itu sendiri.
Kerajaan terutama sekali Kerajaan Pusat harus membuat kajian dan pemantauan yang teliti terhadap kemungkinan ada lagi akan berlaku penutupan kilang seperti ini yang boleh memberi kesan terhadap pendapatan rakyat.
Persediaan harus dilakukan berkaitan dengan bantuan yang harus diberikan kepada rakyat yang bakal hilang pekerjaan termasuk pelan untuk menyalurkan mereka ke syarikat-syarikat atau industri-industri lain yang sesuai.
Rangka terhadap pelan untuk mengatasi isu ini harus dilakukan segera secara pro-aktif dan bukan hanya difikirkan setelah ianya berlaku.
HAJI BAKRI JAMALUDDIN
Ahli Parlimen Tangga Batu – HARAKAHDAILY 2/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan