
Peperangan tak boleh selesaikan konflik – Dr Azman
May 8, 2025
KUALA TERENGGANU: “Peperangan akan mengundang kematian dan kemusnahan di kedua-dua pihak. Rakyat awam, wanita, kanak-kanak dan orang tua yang tak bersalah,” demikian kata Dato’ Dr Azman Ibrahim mengulas konflik India dan Pakistan yang kini semakin meruncing.
Menurut Penolong Setiausaha PAS Negeri Terengganu itu, pengalaman hidup lama di negara bergolak seperti Iraq menjadikan beliau sangat menghargai keamanan serta menolak sebarang bentuk peperangan sebagai jalan penyelesaian konflik.
“Saya hidup lama di negara perang Iraq menyebabkan jiwa saya sangat cintakan kedamaian kerana perang sebenarnya tak menghadirkan apa-apa. Peperangan tak boleh menyelesaikan konflik.
“Pensyarah saya di University Baghdad dulu ramai veteran Perang Iran-Iraq. Selalu juga saya duduk bersama mereka sambil mendengar kisah-kisah tragis di medan perang, kebanyakkannya mengundang titisan air mata,” katanya.
Mengimbas kembali kenangan bersama para veteran tentera Iraq, beliau berkata, ramai dalam kalangan mereka adalah doktor tentera yang pernah berkhidmat di medan perang dan mengalami secara langsung kekejaman serta keganasan konflik bersenjata.
“Perang ini amat kejam sama ada bagi yang menang atau kalah. Bayangkan dalam satu misi serangan dengan satu batalion tentera berjumlah 1,000 orang, hanya sekitar 100 orang yang mampu pulang dengan selamat. Bakinya sama ada terbunuh, cedera, ditawan atau hilang tanpa dikesan,” katanya.
Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri turut menyifatkan peperangan selama lapan tahun antara Iran dan Iraq dari 1980 hingga 1988 sebagai bencana kemanusiaan yang menjadi mainan kuasa-kuasa besar dunia.
“Kehilangan nyawa, kerugian harta benda, kecacatan anggota, kemusnahan dan pelbagai lagi bencana perang 1980 hingga 1988 tersebut terlalu banyak untuk dikisahkan.
“Saya biasa tanya mereka, apakah yang Iran atau Iraq dapat dari perang selama 8 tahun? Mereka jawab, tidak! Tak dapat apa-apa! Walau seinci bumi Iran tak dapat dikuasai oleh Iraq dan seinci pun bumi Iraq tak dapat kepada Iran.
“Tapi kami sama-sama jadi bahan mainan kuasa barat. Bila perang berakhir pada 8 Ogos 1988, sempadan negara kami masih kekal seperti era 1950-an,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan