
Perbaharui tadbir urus, perlu lebih berdaya saing
‘Fokus seharusnya diberikan kepada hala tuju, bukan figura semata-mata’
May 6, 2025
KUALA LUMPUR: Khairul Nadzir Helmi Azhar menegaskan, tulisan beliau menyentuh pembaharuan dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) tidak bertujuan memberi isyarat keras kepada parti komponen atau mencetuskan desakan menukar kepimpinan gabungan itu.
Beliau berkata, penulisan itu lahir daripada rasa tanggungjawab terhadap perjuangan bersama dengan fokus utama ialah keperluan seluruh komponen PN memikirkan pendekatan baharu yang lebih kreatif dan inovatif dalam mengurus tadbir gerakan politik.
“Kita sedang berdepan dengan musuh politik yang berbeza sifatnya; mereka gemar membina naratif mengelirukan, mengeksploitasi kelemahan dan gemar membina persepsi.
“Dalam konteks ini, pentadbiran dan pengurusan gerakan PN mesti berubah seiring cabaran, dengan strategi yang lebih segar dan keupayaan berfikir luar kotak,” ujar Ketua Penerangan Pemuda PAS itu.
Beliau berkata, antara cabaran utama dihadapi hari ini termasuk tekanan politik dan intimidasi oleh kuasa, penyekatan suara pemimpin pembangkang, kekangan peruntukan serta keperluan mendesak untuk membentuk pasukan media dan naratif yang mantap.
Katanya, semua cabaran itu memerlukan sumber dan pelaburan signifikan selain usaha memupuk kembali jati diri anak muda Melayu-Islam dan rakyat Malaysia pelbagai kaum yang semakin terhimpit dengan tekanan ekonomi dan survival kehidupan.
“Inilah asas kepada gesaan saya agar PN membina pentadbiran yang lebih tangkas, cekap dan kreatif dalam menghadapi kerajaan yang semakin autoritarian.
“Bukan sekadar bergantung kepada kekuatan individu, tetapi membina sebuah sistem yang berdaya tahan dan mampu menggerakkan kesedaran rakyat meskipun dengan sumber yang terhad,” jelasnya.
Nadzir berkata, beliau menolak sebarang cubaan untuk memesongkan maksud tulisan itu kepada persoalan jawatan atau kedudukan mana-mana pihak kerana fokus seharusnya diberikan kepada hala tuju, bukan figura semata-mata.
“Kita adalah satu perikatan, dan kejayaan kita bergantung kepada kebijaksanaan kita mengurus kekuatan kolektif. Anak muda mesti berani berubah. Kita mesti mencipta gelombang baharu.
“Dan untuk itu, kita perlu keluar daripada kepompong biasa dan berani mencabar status quo—demi masa depan negara dan rakyat yang kita cintai,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan