
Perlis tangani isu jenayah seksual remaja bawah umur
May 13, 2025
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis akan mengadakan pertemuan segera bersama agensi-agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung isu peningkatan kes jenayah seksual dalam kalangan remaja bawah umur di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, tindakan lanjut hanya akan diambil selepas menerima maklumat lengkap daripada pihak bertanggungjawab agar sebarang keputusan dibuat berdasarkan fakta yang tepat.
“Saya ingin membuat dahulu pertemuan dengan agensi-agensi berkaitan dalam perkara ini. Supaya bila kita beri sebarang maklum balas, ia datang dengan maklumat yang sahih dan tepat daripada sumber yang berautoriti,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.
Menurut beliau, keperluan kepada data dan statistik rasmi amat penting agar sebarang kenyataan yang dikeluarkan tidak menimbulkan kekeliruan atau menyulitkan siasatan pihak berkuasa, khususnya polis.
“Kalau kita buat kenyataan awal tanpa maklumat tepat, nanti beri kesan pula kepada siasatan pihak polis. Jadi, lebih baik kita tunggu maklumat rasmi dahulu. Insya-Allah, dalam masa terdekat, minggu depan mungkin,” katanya.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim terdahulu mendedahkan statistik membimbangkan bahawa kes jenayah seksual di Perlis mencatat peningkatan sebanyak 31 peratus tahun lalu.
Sebanyak 51 kes dilaporkan pada 2024 berbanding 39 kes pada tahun sebelumnya, dengan kebanyakan kes melibatkan hubungan suka sama suka antara remaja bawah umur.
Lebih menyedihkan, menurut beliau, kes-kes tersebut turut melibatkan murid berusia antara 12 hingga 16 tahun yang bukan sahaja menjadi mangsa hubungan luar nikah, bahkan ada yang hamil dan melahirkan anak di usia muda.
“Sebanyak 98 peratus kes jenayah seksual ini berlaku secara suka sama suka antara suspek dan mangsa bawah umur. Kebanyakan daripada mereka berkenalan di media sosial seperti WhatsApp, TikTok, Facebook dan Telegram sebelum terjebak dalam hubungan terlarang,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perkenalan singkat di platform digital boleh membawa kepada akibat jangka panjang yang sangat buruk, terutama kepada remaja perempuan.
“Perkara ini tidak boleh dipandang remeh. ‘Trend’ yang semakin meningkat setiap tahun amat membimbangkan dan perlu ditangani dengan lebih serius oleh semua pihak,” katanya.
Peranan komuniti dan pendidikan
Sementara itu, Ustaz Azmir berkata, penyelesaian kepada isu ini tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada pihak polis atau agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan aktif masyarakat, institusi pendidikan serta ibu bapa.
“Peranan komuniti, ibu bapa, sekolah dan masjid amat penting. Kalau remaja kita tidak diberi didikan agama dan adab sejak awal, mudah saja mereka terpengaruh dengan budaya luar yang sangat bebas,” ujar beliau.
Menurutnya, pihak kerajaan negeri juga akan meneliti semula pendekatan pendidikan akhlak dan sahsiah di sekolah-sekolah serta mempertimbangkan untuk memperluaskan lagi kuliah-kuliah agama secara berkala melalui pelbagai platform.
“Kita perlu kembali kepada asas. Bila anak-anak diberi panduan hidup yang berpaksikan agama, insya-Allah mereka lebih kuat menghadapi cabaran media sosial dan persekitaran hari ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Muhammad turut memaklumkan bahawa kes buli dalam kalangan pelajar sekolah menunjukkan sedikit penurunan daripada sembilan kes pada tahun 2023 kepada enam kes pada tahun lalu.
Antara kes yang dilaporkan termasuk pergaduhan antara pelajar sehingga mendatangkan kecederaan, merusuh serta melakukan pemerasan dan khianat.
“Bagi menangani isu ini, polis telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program kesedaran jenayah di tadika, sekolah rendah dan menengah,” jelas beliau.
Selain itu, kempen kesedaran turut dipergiatkan melalui penglibatan pelbagai jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyampaikan maklumat penting kepada komuniti, khususnya berkaitan jenayah terhadap kanak-kanak.
Ustaz Azmir menyambut baik usaha polis dalam memberi pendidikan awal mengenai jenayah kepada murid-murid dan berharap ia diteruskan secara konsisten dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO), pendidik dan masyarakat.
“Kita tak boleh bergantung kepada tindakan undang-undang sahaja. Pendidikan rohani, kawalan keluarga dan pemantauan sosial mesti berjalan seiring,” katanya.
Ujarnya lagi, kerajaan negeri komited untuk mewujudkan sinergi antara semua pihak demi membendung gejala sosial yang semakin meruncing dan menggugat masa depan generasi muda Perlis. – HARAKAHDAILY 13/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan