Pertahan sijil halal di tengah tekanan dagangan global



Pertahan sijil halal di tengah tekanan dagangan global

Disifatkan bertaraf emas dunia
May 5, 2025

KUALA LUMPUR: Malaysia disaran untuk mempertahankan pensijilan halalnya yang bertaraf emas dunia walaupun berdepan tekanan tarif timbal balik serta pelbagai bentuk sekatan perdagangan antarabangsa yang semakin mencengkam.

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) membangkitkan kebimbangan terhadap kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pensijilan halal yang kini menjadi antara isu disentuh dalam Laporan Hal Ehwal Perdagangan Amerika Syarikat bagi tahun 2025.

“Kita berada dalam keadaan di mana Malaysia merupakan sebuah negara yang cukup dihormati dalam konteks pensijilan halal. ‘The gold standard of the world’,” ujarnya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika sesi perbahasan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, di sini, hari ini dengan merujuk kepada penilaian antarabangsa terhadap piawaian ketat yang diguna pakai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dalam laporan yang disebut ujarnya, dinyatakan bagaimana keperluan dikenakan oleh JAKIM termasuk pusat penyembelihan khusus, pengasingan dalam penghantaran serta penyimpanan produk halal dilihat sebagai satu ‘halangan perdagangan bukan tarif’ oleh beberapa negara dagangan.

Namun Mohd Radzi lagi, keperluan ini bukanlah satu bentuk diskriminasi atau beban birokrasi semata-mata, tetapi berasaskan prinsip ‘halalan toyyiban’ yang menuntut bukan sekadar halal dari segi sembelihan, tetapi juga kebersihan, integriti, dan keselamatan makanan.

“Kalau nak ikut apa yang disebut dalam laporan mereka, mereka mempertikaikan kaedah kita menguruskan daging halal sebagai contoh. Tapi mereka lupa, konsep kita ini bukan sekadar halal, tapi ‘halalan toyyiban’. Ini satu prinsip yang tidak boleh dikompromi,” tegasnya.

Isu ini katanya, timbul dalam suasana tegang akibat pelaksanaan tarif tersebut yang diumumkan pada 2 April lalu, tarif tersebut bukan sahaja mencetuskan ketidaktentuan dalam ekonomi dunia, tetapi turut memberi kesan langsung kepada Malaysia sebagai sebuah negara dagangan.

Menurutnya, Malaysia yang banyak bergantung kepada eksport akan terus menerima kesan besar sekiranya kerajaan tidak mengemukakan penjelasan tuntas kepada rakyat dan industri mengenai pelaksanaan dasar ekonomi seperti tarif, subsidi bersasar, serta perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kalau tidak kena cara, kesan jangka masa sederhana dan panjang daripada pelaksanaan tarif timbang balik ini mungkin akan jauh lebih teruk daripada pandemik COVID-19,” katanya.

Naib Presiden BERSATU itu turut menzahirkan kekecewaan kerana kerajaan masih gagal menjelaskan butiran lanjut pelaksanaan subsidi bersasar atau kenaikan tarif elektrik walaupun beberapa dasar telah diumumkan sejak tahun lalu.

Dalam konteks ini, beliau menyeru agar kerajaan tidak tunduk kepada tekanan antarabangsa yang mahu Malaysia melonggarkan protokol pensijilan halal.

“Kita tak boleh kompromi dengan standard halal kita hanya kerana tekanan perdagangan. Dunia hormat kita kerana kita tegas dan konsisten,” katanya.

Malaysia diakui sebagai antara negara yang menjadi rujukan utama dalam sistem pensijilan halal.

Produk yang mendapat pengiktirafan JAKIM ujarnya, bukan sahaja diyakini oleh pengguna Muslim di Malaysia, malah turut mendapat permintaan tinggi di luar negara, termasuk negara-negara bukan Islam.

Dengan jangkaan pasaran halal global mencecah lebih USD5 trilion menjelang 2030, Malaysia tidak boleh melepaskan peluang ini hanya kerana ingin melonggarkan dasar atas permintaan negara asing.

“Jangan kita gadaikan kedudukan kita yang unik ini hanya kerana nak ikut kehendak mereka. Kita ada niche yang besar. Kerajaan perlu beri kapasiti tambahan kepada JAKIM dari sudut kepakaran, teknologi dan sokongan pentadbiran,” tegasnya lagi.

Beliau selaku juga pembahas terakhir mewakil Perikatan Nasional (PN) turut menggesa agar kerajaan bukan sahaja mempertahankan dasar yang baik, tetapi juga memastikan pelaksanaannya jelas dan tidak mengundang ketidaktentuan.

Dalam ucapan yang padat dan kritis itu, beliau menyatakan kekecewaannya terhadap kegagalan kerajaan memberikan penerangan mengenai penangguhan SST dan kenaikan tarif elektrik yang diumumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Disember 2024.

Juga mengenai isu implementasi subsidi bersasar yang sehingga kini masih belum menjelaskan siapa sebenarnya yang dikategorikan sebagai ‘T15’.

“Dah masuk Mei, data Pangkalan Data Utama (PADU) sudah dikumpul sejak awal Januari 2024. Tapi T15 pun belum ada definisi. Rakyat tertanya-tanya, industri tunggu penjelasan. Menteri Ekonomi pula sedang bercuti,” ujarnya sinis.

Beliau turut membandingkan dengan komitmen kerajaan terdahulu yang berhadapan dengan krisis COVID-19 di mana mesyuarat diadakan setiap hari tanpa cuti bagi memantau situasi ekonomi dan kesihatan negara. – HARAKAHDAILY 5/5/2025

Ulasan