

Berita
PKR terima keputusan pemilihan cabang yang dipertikai - sumber parti
Diterbitkan: May 4, 2025 10:22 PMMajlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan untuk menerima keputusan pemilihan cabang yang dipertikaikan, menurut sumber parti.
Keputusan itu dicapai selepas kepimpinan PKR bermesyuarat malam ini.
Malaysiakini difahamkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli turut hadir dalam mesyuarat tersebut.
Menurut sumber, dalam mesyuarat selama satu jam itu, juruaudit antarabangsa yang dilantik untuk menyemak keputusan pemilihan telah memberi taklimat kepada jawatankuasa kepimpinan menerusi sidang video.

Sumber itu mendakwa tiada sebarang bantahan dikemukakan terhadap keputusan untuk menerima keputusan pemilihan cabang dan bergerak ke depan.
Terdapat khabar angin bahawa keputusan pemilihan cabang PKR — yang didakwa menunjukkan beberapa keputusan luar jangka — telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kem Rafizi.
Ini sehingga mencetuskan desas-desus Rafizi merancang untuk meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi.
Walaupun Rafizi sendiri menang jawatan ketua cabang Pandan, beberapa pemimpin kanan PKR lain tewas dalam keputusan mengejut, termasuk Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Angkatan Muda Keadilan Adam Adli Abd Halim, serta ahli jawatankuasa pusat Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Fahmi Zainol, Lee Chean Chung dan Rodziah Ismail.

Keputusan malam ini membuka laluan kepada PKR untuk meneruskan proses pemilihan nasional, dengan Presiden Anwar Ibrahim mengekalkan jawatan itu tanpa dicabar bagi penggal terakhirnya.
Timbul spekulasi Rafizi Ramli bakal berdepan saingan bagi jawatan timbalan presiden.
Proses pencalonan akan dibuka pada 8 dan 9 Mei manakala pengundian dijadualkan berlangsung pada 23 Mei.
PKR akan kembali menggunakan sistem perwakilan untuk pemilihan nasional kali ini, selepas 15 tahun bereksperimen dengan sistem satu ahli satu undi.
Badan tanpa kepala
Pemilihan PKR peringkat cabang bermula pada 11 April dan berakhir 20 April lalu.
Namun, proses itu dilanda pelbagai dakwaan penyelewengan, termasuk 'keanehan' yang menyaksikan kumpulan tertentu menyapu bersih jawatankuasa cabang tetapi calon ketua cabang mereka tewas.
Trend itu berlaku di banyak tempat dan digelar sesetengah pihak sebagai fenomena "badan tanpa kepala" – pasukan menang, tetapi ketuanya kalah.
Antara contoh paling ketara termasuk Gan Ay Ling di Kangar, Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Balik Pulau, Mohd Kamri Kamaruddin di Ampang, Chua Wei Kiat di Selayang, Rodziah Ismail di Shah Alam, dan Ginie Lim di Alor Gajah.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa pada 27 April lalu dilaporkan berkata keputusan muktamad pemilihan peringkat cabang PKR akan dimuktamad selewat-lewatnya 5 Mei ini selepas penelitian semua bantahan diterima.
Beberapa nama seperti Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru mengemukakan bantahan secara rasmi kepada JPP.
Pemimpin lain yang kalah turut mengambil langkah sama termasuk Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat (Selayang) dan Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam yang mengambil keputusan mengemukakan rayuan rasmi kepada JPP berikutan kekalahan tipis di Cabang Sungai Siput.
Ulasan
Catat Ulasan