
PRN Sabah: Agihan 33 kerusi untuk PH masih berstatus tawaran - UMNO
Oleh Izwan Abdullah - Mei 2, 2025 @ 12:19am
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bakal memimpin BN menghadapi PRN Sabah yang dijangka diadakan bila-bila masa tahun ini. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Baki 33 kerusi yang diagihkan kepada Pakatan Harapan (PH) Sabah menerusi kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah masih berstatus tawaran.
Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman berkata tawaran itu adalah berdasarkan strategi agihan kerusi jika kerjasama BN-PH dapat dimuktamadkan.
Katanya, tawaran itu terbuka untuk rundingan dan sekiranya tiada persetujuan bersama, BN berhak membuka ruang perbincangan dengan mana-mana parti lain yang bersedia untuk bekerjasama secara strategik demi kestabilan dan pembangunan Sabah.
Bagaimanapun, katanya BN mesti menjadi parti dominan dalam gabungan kerjasama yang dibentuk atas keyakinan terhadap rekod dan kekuatannya di peringkat akar umbi.
"Sebarang kerjasama baharu termasuk dalam bentuk 'BN-PH Plus' akan dibincangkan secara telus dan menyeluruh. Namun satu perkara yang tidak akan berubah adalah pendirian bahawa BN tidak akan bertanding dalam keadaan lemah atau sebagai parti minoriti.
"BN kekal dengan prinsip untuk menjadi parti dominan dalam mana-mana gabungan kerana kami percaya kepada rekod, kekuatan akar umbi, serta komitmen kami terhadap agenda rakyat.
"Justeru, saya ingin menegaskan kepada semua pihak untuk menghormati proses rundingan yang sedang berjalan.
"Kerjasama politik harus dibina atas dasar kepercayaan, kematangan dan hormat-menghormati antara semua pihak yang berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin yang mempersoalkan agihan kerusi 40 ditandingi BN dan 33 untuk PH yang diumumkan Ketua Penerangan UMNO Sabah, sebelum ini.
Razeef mengesahkan tiada perbincangan rasmi mengenai rundingan kerusi BN-PH setakat ini, termasuk dengan rakan pimpinan parti komponen PH yang lain.
Datu Rosman menyifatkan kenyataan Razeef sebagai pandangan peribadi beliau dan ia tidak mewakili keseluruhan pendirian PH.
Beliau menjelaskan bahawa rundingan mengenai kerjasama politik BN-PH itu dibuat dengan pimpinan tertinggi gabungan masing-masing.
"Rundingan yang dijalankan oleh BN adalah dengan pimpinan tertinggi PH secara kolektif, bukan dengan satu-satu parti komponen seperti PKR semata-mata.
"Oleh itu, mana-mana kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan PKR Sabah harus dilihat dalam konteks pandangan parti itu sendiri, bukan sebagai keputusan bersama PH," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan