Projek LRT tidak telus, penuh soalan, dikhuatiri membazir



Projek LRT tidak telus, penuh soalan, dikhuatiri membazir
May 19, 2025

Us Muhammad Fauzi Yusoff

GEORGE TOWN: Isu ketelusan dan keberkesanan projek mega Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang menjadi tumpuan apabila Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff (PN- Sungai Dua) menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap pelaksanaannya.

Menurut beliau, projek berbilion ringgit itu masih mengundang pelbagai persoalan asas yang diketengahkan beliau ketika menyampaikan ucapan perbahasan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Tegasnya, walaupun projek LRT itu kini berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, ia tetap melibatkan rakyat negeri ini secara langsung dari aspek kos, pengambilan tanah, hingga kepada kesan sosial dan ekonomi setempat.

“Kami di pihak pembangkang tidak menolak pembangunan. Tetapi pembangunan yang tidak telus dan tidak dikaji secara menyeluruh bukan sahaja membazir wang rakyat, malah boleh membawa mudarat jangka panjang kepada masyarakat,” ujar beliau.

Ustaz Muhammad Fauzi yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang mempersoalkan jumlah sebenar kos projek LRT diumumkan Perdana Menteri pada Belanjawan 2025 lalu itu dengan dinilaikan lebih RM10 bilion.

Menurutnya, rakyat berhak mengetahui sama ada kos itu mengambil kira keseluruhan elemen termasuk pemindahan utiliti bawah tanah, pampasan pengambilan tanah serta penyelenggaraan jangka panjang.

“Kami ingin tahu, berapakah kos sebenar LRT ini? Dan lebih penting, adakah projek ini benar-benar berbaloi?” ujarnya mempersoalkan sama ada kerajaan telah menyelesaikan semua proses pengambilan tanah, dan jika tidak, berapa banyak keluarga serta perniagaan akan terkesan.

Menurut Ustaz Muhammad Fauzi, projek sebesar ini sudah tentu melibatkan pemindahan paip air, pembetungan dan kabel utiliti yang jika tidak diurus lebih awal boleh menyebabkan kelewatan serius dan kos tambahan besar.

“Siapa yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pemindahan ini, dan adakah ia telah dimasukkan dalam anggaran kos projek?” katanya sambil menggesa ketelusan penuh dalam penyediaan butiran kewangan projek.

Beliau turut memohon agar Laporan Penilaian Impak Trafik (Traffic Impact Assessment, TIA) projek LRT ini didedahkan kepada umum sebelum kerja dimulakan.

“Ketika pembinaan sedang berlangsung nanti, kesesakan lalu lintas sudah pasti menjadi lebih parah. Rakyat perlu tahu bagaimana kerajaan negeri bercadang menangani isu ini secara realistik,” katanya.

Satu lagi kebimbangan besar ialah kadar penggunaan LRT dalam kalangan rakyat Pulau Pinang, sama ada perancangan stesen LRT benar-benar mengambil kira laluan mobiliti harian rakyat, seperti dari kawasan perumahan ke tempat kerja dan kawasan industri.

“Berapa peratus rakyat yang akan benar-benar menggunakan LRT ini? Jika lokasi stesen tidak strategik dan tidak selari dengan corak pergerakan rakyat, maka projek ini akan menjadi satu pembaziran besar,” tegasnya.

Beliau mencadangkan agar kerajaan negeri terlebih dahulu memperkasakan sistem bas awam dan perkhidmatan Demand-responsive Transport (DRT) yang lebih fleksibel, murah dan mudah dilaksana.

Ustaz Muhammad Fauzi turut membangkitkan kekaburan mengenai sambungan laluan LRT antara pulau dan tanah besar di Penang Sentral sama ada laluan iti akan menggunakan terowong bawah laut atau jejambat?

“Ini bukan isu teknikal semata-mata. Kos, risiko keselamatan, kesan kepada alam sekitar dan warisan bandar seperti Georgetown semuanya perlu dikaji dengan teliti,” jelasnya.

Beliau memberi amaran bahawa pembinaan terowong bawah laut melibatkan kos jauh lebih tinggi serta risiko jangka panjang yang memerlukan teknologi khas dan penyelenggaraan berterusan.

Beliau turut mengingatkan kerajaan negeri agar tidak hanya menjadi penyambung suara pemaju semata-mata, tetapi benar-benar menjadi wakil kepada rakyat terbanyak yang kini berdepan tekanan kos sara hidup, masalah perumahan dan akses pengangkutan awam lebih mendesak.

“Kita tidak mahu melihat Pulau Pinang berubah menjadi sebuah kota elit yang menyingkirkan rakyat marhaen ke pinggiran. Pembangunan mesti berpaksikan prinsip keadilan sosial, bukan keuntungan semata-mata,” tegasnya.

Dengan menyifatkan LRT sebagai projek mega yang penuh dengan tanda tanya, Ustaz Muhammad Fauzi menyeru supaya segala perincian projek ini dikongsi secara terbuka, agar rakyat tidak menjadi mangsa kepada keputusan tergesa-gesa dan tidak inklusif. – HARAKAHDAILY 19/5/2025

Ulasan