Puad kritik Rafizi: 'Ministry first, party second'



Berita
Puad kritik Rafizi: 'Ministry first, party second'

Diterbitkan: May 6, 2025 11:35 AM
Dikemaskini: 11:45 AM

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sekali lagi dikritik kerana mengambil cuti, kali ini daripada sekutu dalam kerajaan.

Dalam hantaran di Facebook, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi mengingatkan Rafizi bahawa apabila perlu memilih antara parti dan kerajaan, keutamaan sepatutnya diberikan kepada kerajaan.

“Kalau mahu protes parti letaklah jawatan timbalan presiden partinya, bukan cuti panjang dan membiarkan kementerian tanpa bos begitu lama.

“Ia kementerian penting. Ministry first, party second,” kata Puad.

Pada 30 April lalu, seorang menteri yang enggan dinamakan berkata Rafizi sedang bercuti, di tengah khabar angin dia akan meletakkan jawatan sebagai menteri.

"Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan mesyuarat kabinet hari ini bahawa Rafizi sedang bercuti beberapa hari. “Tiada peletakan jawatan berlaku, dan khabar angin ini sama sekali tidak benar," katanya.

Tindakan Rafizi itu di saat timbul rasa tidak puas hati dalam PKR, susulan keputusan pemilihan cabang yang menyaksikan sejumlah sekutunya tewas.

Situasi itu mencerminkan cabaran yang bakal dihadapinya dalam usaha mempertahankan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan kepimpinan pusat PKR bulan ini.

Anwar bagaimanapun menyifatkannya sebagai bukan isu besar dan perkara biasa bagi seorang pekerja.

“Beberapa hari sahaja cuti, bagilah... tak ada isu pun. Saya pun nak cari beberapa hari nak cuti,” kata Anwar.

Mengulas lanjut, Puad berkata ketiadaaan Rafizi semasa sidang khas Dewan Rakyat berhubung isu tarif AS semalam membuka ruang kepada pelbagai spekulasi negatif.

“Dia patut tampil secara terbuka beri penjelasan kenapa ambil cuti panjang. Kalau benar ia ada kaitan dengan isu pemilihan PKR maka cutinya itu tidak bertanggungjawab.

“Kalau cuti kerana mahu mengugut parti, secara tidak langsung, dia mengugut kerajaan,” kata Puad lagi.

Semalam, Ahli Parlimen PAS Ahmad Fadhli Shaari turut mengkritik Rafizi dengan menyifatkan tindakannya sebagai “tidak munasabah” dan menjadikan Malaysia bahan ketawa.

Ulasan