Putin harap tak perlu guna senjata nuklear di Ukraine

 

Putin harap tak perlu guna senjata nuklear di Ukraine
AGENSI - Mei 5, 2025 @ 7:18am

Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto REUTERS

ISTANBUL: Presiden Russia, Vladimir Putin, semalam menyatakan harapannya supaya tiada keperluan untuk menggunakan senjata nuklear dalam konflik yang berlangsung di Ukraine.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Russia, Pavel Zarubin, bagi sebuah dokumentari yang bakal disiarkan dengan petikannya dikongsi oleh media milik kerajaan, Putin berkata negaranya masih belum memerlukan senjata itu sejak permulaan perang Russia-Ukraine pada 24 Februari 2022.

"Mereka (Barat) mahu memprovokasi kita, mereka mahu kita melakukan kesilapan. Tiada keperluan untuk menggunakan senjata yang anda sebutkan tadi. Dan saya berharap keperluan itu tidak akan timbul," katanya.

Putin menegaskan Moscow mempunyai kekuatan dan sumber yang mencukupi untuk menamatkan konflik bersenjata hingga mencapai "kesimpulan yang logik," serta menghasilkan "hasil yang diinginkan oleh Russia."

Beliau turut menyatakan perdamaian antara Russia dan Ukraine adalah sesuatu yang "tidak dapat dielakkan," dan hanya "soal masa" walaupun banyak "tragedi" berlaku sepanjang perang yang kini memasuki tahun keempat.

Presiden Russia itu menuduh Barat cuba memecahbelahkan negaranya kepada beberapa bahagian sejak awal 2000-an, sambil menyifatkan musuh geopolitik mereka sebagai bertindak "dengan penuh muslihat" – mengatakan satu perkara tetapi melakukan perkara sebaliknya.

Mengulas mengenai Perjanjian Minsk – siri perjanjian yang dimeterai pada 2014 dan 2015 bagi menghentikan konflik di timur Ukraine, Putin berkata beliau pada awalnya berharap perjanjian itu akan dipatuhi, namun mendakwa Russia telah "diperdaya."

Beliau turut menuduh Barat menggunakan perjanjian berkenaan sebagai satu "jeda" untuk "memperkuatkan semula Ukraine dan membuat persediaan untuk berperang dengan Russia."

"Ini juga satu pengalaman bagi kami. Dan sudah tentu, kami mesti mengambil kira pengalaman ini pada masa hadapan," katanya, sambil menegaskan bahawa Russia "terpaksa" menggabungkan Crimea pada 2014 kerana sebarang tindakan lain seolah-olah akan "menyerahkan rakyatnya untuk dikorbankan." - AGENSI

Ulasan