

Berita
Rafizi kecam surat dibocorkan, pertikai adab pelancaran jentera PRN Sabah
Diterbitkan: May 19, 2025 10:20 AM
Dikemaskini: 10:26 AM
Penyandang timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mengecam pihak yang membocorkan surat sulit yang dihantarnya kepada presiden parti Anwar Ibrahim, untuk memaklumkan keputusannya menolak jemputan merasmikan kongres sayap Pemuda (AMK) dan Wanita parti itu.
Bercakap pada program Jelajah Hiruk di Ipoh malam tadi, Rafizi mendedahkan surat itu hanya ditujukan kepada dua individu—Anwar dan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh.
"Saya tulis surat pada dua orang sahaja. Kepada Anwar, dan salinan kepada setiausaha agung. Siapa yang bocorkan ni? Macam mana boleh bocor? Surat itu surat sulit! Bukan saja boleh bocor (dan dilaporkan di) berita, (keseluruhan) surat itu terus keluar (dibocorkan)," katanya.
Menteri ekonomi itu membandingkan situasi itu dengan kebocoran serupa pada 2019 yang melibatkan surat yang ditulisnya kepada Anwar yang memberi amaran tentang “kartel dan watak gelap” dalam parti.
"Dia gunakan itu, dia kata ini merajuklah, emotional, tak professional... dia bukan isu bocor tapi saya memang tunggu bola tanggung," sindirnya, menggunakan metafora badminton untuk mencadangkan dia bersedia untuk kritikan.
Semalam, Rafizi dilapor telah memaklumkan secara rasmi kepada Anwar mengenai keputusannya untuk menolak jemputan sayap parti itu.
Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya telah menerima salinan surat itu dan berharap Rafizi akan mempertimbangkan semula.
Rafizi berkata walaupun sudah menjadi kebiasaan bagi timbalan presiden merasmikan kongres AMK dan Wanita, peranan itu juga termasuk melancarkan jentera utama parti terutama menjelang pilihan raya.
"Kita ada adab dan hierarki dalam parti. Memang betul adab dan hierarki parti, timbalan presiden rasmikan AMK dan Wanita. Memang betul.
"Tapi adab dalam parti, hierarki dalam parti, adalah (timbalan presiden) melancarkan jentera pilihan raya sesuatu yang sepenting seperti PRN Sabah, itu adalah adabnya dilakukan oleh timbalan presiden yang juga adalah pengarah pilihan raya. Ada adab dia," katanya.
Dia melahirkan rasa terkejut dengan pengumuman satu lagi acara pelancaran, yang menurutnya belum dibincangkan sama ada di peringkat biro politik atau majlis pimpinan pusat (MPP).
“Ketika itu tiada cakap-cakap untuk melancarkan jentera PRN. Berdasarkan maklumat yang saya terima, Nurul Izzah sepatutnya berkempen di Sabah pada 19hb.
"Kemudian tiba-tiba, ada poster yang mengatakan Izzah dan Amir (Menteri Besar Selangor Amirudin Shari) akan melancarkan jentera pada hari yang sama, pada masa yang sama," katanya.
Rafizi menegaskan dia tidak kisah jika ada pihak lain yang ingin menggalas tugasnya, namun mempersoalkan kekurangan penyelarasan.
"Saya tak kisah kau nak pikul sangat silalah saya tak ada masalah…
"Tetapi kenapa kita tidak berpandukan adab sehingga dia menyusahkan pimpinan-pimpinan cabang di bawah? Kenapa kita meletakkan mereka dalam serba-salah?" soalnya.
Sebelum ini dilaporkan 21 daripada 25 cabang PKR di Sabah menyokong Nurul Izzah dan Amirudin. Beberapa ahli juga dilaporkan mengkritik pendirian Rafizi sebagai "tidak profesional" menjelang pemilihan parti pada 23 Mei.
Ulasan
Catat Ulasan