Rafizi sedia ditentang Nurul Izzah, Saifuddin


Oleh ABDUL HADI AB. MANAP
8 Mei 2025, 6:50 am

PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli sedia berhadapan dengan Naib Pre­siden, Nurul Izzah Anwar yang kini mendapat sokongan ramai selain Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menteri Ekonomi itu berkata, beliau mengalu-alukan pertan­dingan bagi jawatan tersebut dan akan turut serta menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti.

Katanya, apa sekalipun pilihan yang diambil perwakilan, ia membuka ruang kepadanya menawarkan sumbangan bagi menguatkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Dari awal lagi, saya menya­takan bahawa hak untuk bertan­ding itu adalah hak masing-masing dan wajar kita raikan dalam semangat demokrasi.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambah Rafizi, jika dipilih, beliau akan terus memainkan peranan dalam kepemimpinan parti sebagai Timbalan Presiden dan dalam Kabinet melalui saluran kerajaan.


Jika tidak katanya, beliau bakal kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah.

Ini susulan kebimbangannya melihat kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan (defensive) dan tidak menyerang seperti rentak semasa menjadi pembangkang.

“Saya juga bersyukur kerana pengalaman 26 tahun dalam parti ini mendidik saya bahawa sesuatu jawatan itu adalah amanah yang berat, apatah lagi jawatan sebagai menteri.

“Maka, keputusan-keputusan kita mestilah dipandu oleh kebertanggungjawaban bukannya berkait dengan pangkat dan kedudukan.” ujarnya.

Sementara itu, Nurul Izzah memaklumkan keputusan bertanding Timbalan Presiden PKR akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keputusan terbaik mengimbangkan antara kesepakatan dan me­lakukan perubahan serta reformasi bermakna buat semua ahli parti.

“Kita beri kata putus bukan untuk mana-mana individu, tetapi demi usaha membina masa depan PKR secara bersama di kala suka dan duka. Insya-Allah.

“PKR sedang berada dalam fasa penting. Justeru, segala keputusan yang bakal diambil haruslah mempertimbang bukan sahaja keperluan menyatu dan memperkukuh jalinan sesama sahabat seperjuangan, tetapi juga keperluan membawa nafas baharu dan perubahan bermakna demi memastikan parti ini terus relevan dan diyakini rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Ulasan