
Rakyat pasti mahu bersama hadapi krisis ekonomi
Tetapi kerajaan perlu menyatukan semua
May 5, 2025
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN–Arau) menyarankan agar slogan ‘Kerajaan Madani’ digandingkan dengan semangat bersama rakyat, bagi memastikan maruah dan ekonomi negara dapat dipertahankan secara menyeluruh.
Menurut beliau, rakyat telah menunjukkan semangat kerjasama dalam menghadapi Krisis Ekonomi 1997 dan pandemik COVID-19, serta kerajaan ketika itu turut mengambil langkah luar biasa yang menyatukan semua pihak.
“Saya ingat elok sebut Kerajaan Madani bersama dengan rakyat sebab kami akan bersama-sama dengan kerajaan untuk memastikan maruah Malaysia dan juga ekonominya dipertahankan. Biar bersama.
“Saya telah melalui zaman Krisis Ekonomi 1997. Kita ada pendekatan kita, bersama Perdana Menteri masa itu dan juga Timbalan Perdana Menteri yang sekarang adalah Perdana Menteri. Tindakan yang diambil cukup menarik.
“Selepas COVID-19 kita juga ambil tindakan bersama yang cukup luar biasa,” ujarnya semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapannya hari ini kelihatan hambar dan kurang bersemangat, mungkin kerana keletihan atau ketiadaan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi.
“Saya minta Menteri yang berucap selepas ini supaya lebih bersemangat supaya kalau kami nak sokong, biar sokongan itu lebih bersemangat. Kalau hambar-hambar, kami tak mahu sokong. Sebab kami pejuang rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pentingnya perpaduan, namun mengakui ada pihak yang tidak suka rakyat bersatu padu kerana bimbang kehilangan kedudukan.
Shahidan turut menimbulkan persoalan sama ada rundingan kerajaan baru-baru ini melibatkan khidmat perunding asing, yang menurutnya tidak wajar.
“Saya setuju pandangan kawan-kawan. Sepatutnya dua Menteri, iaitu MITI dan Menteri Ekonomi, patut pergi bersama. Saya percaya Menteri MITI duk ada ni Menteri Ekonomi berada di Malaysia. Hari ni pun ada dengar cerita dia nak masuk (dewan) tadi tak masuk lagi ya. Sepatutnya dia bersama,” katanya.
Beliau berkata, Menteri Ekonomi yang juga seorang Senator akan tamat perkhidmatan hujung tahun ini, dan menyifatkan kehadiran beliau penting bagi meneruskan formula ekonomi untuk negara.
Shahidan turut mencadangkan agar kerajaan mengambil pendekatan pelaburan seperti era 1997 dengan menubuhkan banyak universiti, serta meneruskan pemberian projek kecil seperti diumumkan Perdana Menteri.
Menyentuh hubungan dengan Amerika Syarikat, Shahidan berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia perlu mendesak supaya rundingan bersama dilakukan antara ASEAN dan Amerika, bukan secara berasingan seperti yang berlaku dengan Indonesia dan Vietnam.
“Saya minta juga masuk ASEAN-US supaya kita boleh dapat sesuatu yang cukup baik,” katanya.
Beliau juga mencadangkan kerajaan meneruskan sumbangan tunai kepada rakyat dengan jumlah lebih besar, bagi merangsang pelancongan tempatan dan penggunaan domestik.
“Kerajaan Taiwan memperuntukkan 88 bilion, saya cadangkan Malaysia peruntukkan RM10 bilion, termasuk perhatian kepada sektor pertanian.
“Inilah masanya untuk mengapungkan harga beras tempatan kerana Super White Malaysia setaraf Thailand. Jika kita apungkan, penanaman padi akan jadi lebih menarik,” katanya.
Beliau menegaskan usaha pemulihan ekonomi perlu dinamakan sebagai kerjasama antara kerajaan dan rakyat, bukan hanya ‘Kerajaan Madani’.
“Kalau untuk Madani saja, kami tak mari yang ini. Tapi kami mari ini kerana kami nak bersama Madani dan juga rakyat dan dengan itu biarlah kita diberi keadilan bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan