Ramai bantah umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun



Ramai bantah umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun

20 Mei 2025 07:04pm
Masa membaca: 3 minit

SHAH ALAM – Cadangan untuk mengkaji semula umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat.

Berita yang disiarkan oleh Sinar Harian di Facebook pada Selasa itu menerima lebih 1,600 komen dan 1,700 tanda suka setakat jam 7 malam dengan rata-ratanya membantah cadangan tersebut.

Mereka berpandangan bahawa umur 60 tahun sudah memadai untuk seseorang bersara dan memberi laluan kepada generasi muda untuk membina kerjaya baharu.

Salah seorang pengguna Facebook, Hasrol Husain berkata, beliau secara peribadi tidak bersetuju jika had usia persaraan dinaikkan kepada 65 tahun.

Katanya, purata jangka hayat rakyat Malaysia hanyalah sekitar 75 tahun dan jika bersara pada usia 65, golongan tersebut hanya tinggal beberapa tahun untuk menikmati hasil titik peluh sepanjang hidup.

Tambahnya, menurut data Bank Dunia, kadar pengangguran belia yang masih tinggi iaitu 10.7 peratus pada 2023 merupakan satu faktor yang perlu dipertimbangkan.



Laporan Sinar Harian berkaitan kaji semula had umur persaraan kepada 65 tahun.

“Kalau bersara 65 tahun, tinggal beberapa tahun sahaja untuk menikmati hasil titik peluh sepanjang hidup. Apakah itu adil?

“Isu peluang pekerjaan pula, jika warga emas terus bekerja sehingga 65 tahun, peluang kerja untuk graduan dan anak muda akan semakin sempit,” katanya.

Sebelum ini, Azalina berkata, kerajaan perlu mengkaji semula had umur persaraan wajib yang ditetapkan pada usia 60 kepada 65 tahun kerana ramai individu pada usia itu masih sihat dan berpengalaman.


Jelasnya, langkah itu wajar dipertimbangkan memandangkan usia 60 tahun kini dianggap masih muda oleh kebanyakan negara.

Dalam pada itu, Hasrol turut menegaskan tidak semua pekerjaan sesuai untuk individu berusia, terutama kerja yang memerlukan tenaga fizikal dan mental seperti dalam sektor kilang, keselamatan, pengangkutan, pendidikan serta kesihatan.

“Cadangan ini juga akan meningkatkan kos kesihatan dan sosial jangka panjang kerana pekerja berumur lebih tinggi berisiko terhadap penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis serta jantung.

“Cukuplah rakyat Malaysia bekerja sampai umur 60. Beri peluang untuk berehat, beribadat, bersama keluarga dan menikmati sisa usia, yang muda pula diberi ruang untuk teruskan pembangunan negara,” ujarnya.

Bagi Zoez Zain pula, beliau mencadangkan supaya umur persaraan dikekalkan pada 60 tahun demi memberi peluang pekerjaan dan pendedahan kepada golongan belia serta lepasan universiti.

Seorang lagi pengguna media sosial, Wak Muhammad Jamalullail menegaskan bahawa tidak adil untuk menyamakan kerja ketua jabatan yang banyak bermesyuarat dan menghadiri seminar dengan perkhidmatan barisan hadapan yang memerlukan tenaga.

“Kalau setaraf ketua pengarah yang kerjanya cuma mesyuarat sana, seminar sini, lawat sana dan sini, makan-makan, bolehlah sampai habis nyawa.

“Tetapi bahagian perkhidmatan ini yang terkejar sana sini, cukuplah sampai 55 tahun sahaja. Berilah peluang kepada anak muda yang berkelayakan pula,” ujarnya.

Bagaimanapun, ada juga netizen yang menyokong cadangan tersebut.

Bagi Norsilah Marzuki, masyarakat kini kebanyakannya masih kuat dan aktif walaupun berusia 60 hingga 65 tahun.

Menurutnya, tidak menjadi masalah untuk terus bekerja selagi kesihatan mengizinkan.

“Okay sahaja sebab orang sekarang umur 60... 65 masih kuat dan nak muda,” tambah beliau.

Walaupun terdapat pandangan yang menyokong, majoriti komen menunjukkan kebimbangan bahawa pelaksanaan cadangan itu akan menyempitkan peluang kerja untuk generasi muda dan membebankan golongan berusia.

Ulasan