Rasuah kerakyatan: SPRM tangkap, reman pengarah syarikat


Berita
Rasuah kerakyatan: SPRM tangkap, reman pengarah syarikat

Diterbitkan: May 10, 2025 3:35 PM
Dikemaskini: 3:35 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam skandal rasuah mempercepatkan pemprosesan permohonan kewarganegaraan bagi rakyat asing.

Majistret Kunasundary Marimuthu mengeluarkan keizinan penahanan reman tiga hari sehingga 11 April itu susulan permohonan dibuat agensi antirasuah terbabit di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek seorang lelaki berusia 50-an dan ditahan kira-kira jam 4.55 petang semalam ketika tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk direkodkan keterangannya.

“Suspek dipercayai bersubahat dengan beberapa individu lain untuk menawarkan rasuah antara RM1,000 hingga RM30,000 bagi setiap permohonan kepada pegawai di jabatan kerajaan sejak 2023.

“Sogokan itu bertujuan untuk memudahkan kelulusan permohonan kewarganegaraan Malaysia bagi warga asing tanpa perlu mengikut prosedur yang sepatutnya,” kata sumber itu.

Sementara itu Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Idris Zaharudin mengesahkan penahanan berkenaan dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Tambahnya, penahanan itu adalah sebahagian daripada tindakan susulan di bawah Op Fastlane 1.0 dan Op Outlander yang dilancarkan oleh bahagian perisikan pada 11 Mac lalu.

Ia menyasarkan sindiket merasuah pegawai kerajaan untuk mempercepatkan permohonan kewarganegaraan.

Dalam perkembangan berkaitan, Sinar Harian melaporkan SPRM tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu lain akan disoal siasat bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Sebelum ini dua pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan seorang individu awam diberkas pada 7 Mei lalu.

Memetik sumber, portal itu melaporkan, dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 dan 65 tahun itu dibebaskan dengan ikat jamin selepas keterangan mereka direkodkan.

Pada 16 Mac lalu SPRM membekukan 11 akaun bank bernilai RM100,000 dan merampas 30 dokumen berkaitan siasatan.

Ulasan