RUU URA: Melayu bandar diancam, paksa serah tanah


RUU URA: Melayu bandar diancam, paksa serah tanah

Terhadap hak pemilik, warisan dan masa depan
May 7, 2025

DUNGUN: Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun tegas menolak Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang disifatkan tidak telus, cenderung memihak kepada pemaju serta mengancam hak pemilik hartanah terutamanya kalangan Melayu bandar.

Menurut Ketua Pemuda PAS Dungun, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli, RUU URA berisiko menjadi alat kepada pemaju dan pihak berkepentingan untuk meminggirkan komuniti asal dalam nama pembangunan.

“Kami menegaskan bahawa kami tidak menolak pembangunan, tetapi ia mesti dilaksanakan dengan kaedah yang telus, adil, serta mempertahankan hak semua kaum, khususnya orang Melayu yang merupakan penduduk asal di banyak kawasan bandar utama.

“Malangnya, RUU ini lebih menguntungkan pemaju berbanding rakyat dan boleh menjadi alat penghakisan hak bumiputera di bandar,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, antara kelemahan ketara dalam RUU tersebut ialah penetapan pampasan tanah berdasarkan ‘nilai pasaran masa hadapan’ boleh dimanipulasi, menyebabkan pemilik hartanah terutamanya Melayu bandar berisiko dipaksa menyerahkan tanah pada harga tidak setimpal.

“Ini membuka ruang kepada manipulasi harga dan ketidakadilan, di mana pemilik, khususnya orang Melayu yang memiliki tanah di bandar, boleh dipaksa menyerahkan hartanah mereka dengan harga yang tidak setimpal.

“Apakah jaminan Menteri bahawa pemilik tidak akan menjadi mangsa kerakusan dan manipulasi pemaju dan kapitalis?” soalnya.

Mohd Fadhli turut menyuarakan kebimbangan pelaksanaan RUU itu boleh menyebabkan penduduk Melayu yang telah lama mendiami kawasan bandar hilang tempat tinggal.

“Sejak sekian lama, orang Melayu merupakan penduduk di banyak kawasan bandar. Dengan pelaksanaan RUU ini, pemilik Melayu yang memiliki rumah kos rendah dan sederhana akan dipindahkan, tanpa jaminan mereka mampu kembali menetap di kawasan yang sama selepas pembangunan selesai.

“Adakah pembangunan ini satu strategi tersirat untuk mengurangkan populasi orang Melayu di bandar bandar utama?” soalnya.

Beliau yang juga ADUN Rantau Abang berkata, perubahan komposisi penduduk akibat projek pembangunan berorientasikan keuntungan tinggi akan meningkatkan harga rumah dan kos sara hidup, sekali gus memaksa golongan Melayu berpendapatan sederhana dan rendah berpindah ke pinggir bandar.

“Apabila kawasan bandar dimajukan dengan projek berorientasikan keuntungan tinggi, ia akan meningkatkan harga rumah dan kos sara hidup. Hal ini akan menyebabkan golongan Melayu berpendapatan sederhana dan rendah terpaksa berpindah ke pinggir bandar.

“Kami menegaskan sekali lagi bukan menentang kemodenan tetapi ia merosakkan keamanan dan keharmonian sedia ada.

“Sementara golongan bukan Melayu yang lebih mampu akan mengisi ruang kosong di bandar utama. Tanpa kawalan yang ketat, RUU ini boleh menjadi alat untuk menafikan hak orang Melayu di bandar dan mengubah struktur sosial secara halus,” katanya.

Menurutnya, RUU URA memberi pengaruh besar kepada pemaju dalam menentukan bentuk dan hala tuju pembangunan, manakala suara pemilik hartanah pula diketepikan.

“RUU ini memberikan pengaruh besar kepada pemaju dalam menentukan hala tuju pembangunan bandar. Tanpa kawalan ketat, pemaju akan lebih mengutamakan keuntungan berbanding kepentingan rakyat,

“Khususnya golongan bumiputera yang kurang berkemampuan. Siapa yang sebenarnya mendapat manfaat daripada undang undang ini. Adakah rakyat, pemaju atau menteri?” soalnya.

Beliau turut menyifatkan tiada ketulusan dalam proses rundingan yang mana suara rakyat diketepikan.

“Kerajaan mendakwa bahawa pemilik hartanah akan dirunding sebelum projek dimulakan. Tetapi sejauh mana suara mereka akan didengari? Jika keputusan akhirnya tetap dibuat oleh kerajaan dan pemaju tanpa persetujuan majoriti penduduk, itu bukan rundingan, tetapi pemaksaan!

“RUU ini tidak memberikan kuasa sebenar kepada pemilik hartanah untuk menolak atau membantah projek yang menjejaskan mereka,” katanya.

RUU URA turut dipersoalkan kerana tiada jaminan bagi pemeliharaan elemen sejarah dan warisan bandar, khususnya berkaitan budaya Melayu.

“Banyak kawasan bandar lama mempunyai nilai sejarah dan budaya yang tinggi khususnya dari kaum Melayu. Jika pembaharuan dilakukan secara agresif tanpa perancangan rapi, bangunan bersejarah, masjid, surau, serta elemen warisan Melayu serta kaum lain akan lenyap.

“RUU ini tidak memberikan jaminan pemeliharaan warisan bandar yang telah menjadi identiti masyarakat Melayu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Dungun mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan antaranya pengiktirafan tanpa syarat terhadap hak komuniti asal termasuk masyarakat hukum adat.

“Sesetengah negara mengiktiraf dan menghormati kesatuan-kesatuan masyarakat hukum adat beserta hak-hak tradisional mereka sepanjang masih hidup dan sesuai dengan perkembangan masyarakat serta prinsip negara,” katanya.

Selain itu, kerajaan perlu menjelaskan secara terbuka mekanisme pampasan supaya benar-benar adil kepada pemilik hartanah, bukan hanya syok sendiri di sidang parlimen.

“Menetapkan kuota pemilikan bumiputera sekurang kurangnya 60 peratus dalam pembangunan semula bandar untuk memastikan orang Melayu tidak kehilangan tempat di bandar.

“Mewajibkan kuota perumahan mampu milik sekurang kurangnya 40 peratus dalam setiap projek pembaharuan bandar bagi mengelakkan jurang kasta yang tinggi.

“Menubuhkan badan pemantau bebas bagi mengawal kuasa pemaju dan memastikan projek tidak berat sebelah. Mewajibkan persetujuan sekurang-kurangnya 90 peratus pemilik hartanah sebelum projek boleh dimulakan.

“Memastikan kawasan warisan Melayu dan lain lain dikekalkan dan dilindungi dalam setiap pembangunan semula bandar serta diberi ‘highlight’ untuk bandar baru tersebut,” katanya.

Beliau berkata, jika kerajaan berkeras mahu meluluskan RUU itu tanpa pindaan ketat, ia membuktikan bahawa kerajaan lebih mengutamakan kepentingan pemaju dan kapitalis berbanding kebajikan rakyat.

“Menteri dan Perdana Menteri harus bertanggungjawab dalam perkara ini. Kami membantah undang-undang yang menindas ini dan memastikan suara rakyat tidak dipadamkan oleh kerakusan pihak berkepentingan.

“Anak muda tolak RUU URA! Pemuda PAS Dungun berdiri bersama hak rakyat! Jumpa di medan 14 JUN 2025 bersama sama. Jangan diam, jangan takut!,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2025

Ulasan