Sambung projek ECRL ke sempadan Sungai Golok


Sambung projek ECRL ke sempadan Sungai Golok

19 Mei 2025 07:50am
Masa membaca: 2 minit

Kerajaan harus mempertimbangkan secara serius cadangan untuk menyambung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sekarang berakhir di Kota Bharu, Kelantan ke sempadan Sungai Golok, Thailand.

KERAJAAN harus mempertimbangkan secara serius cadangan untuk menyambung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sekarang berakhir di Kota Bharu, Kelantan ke sempadan Sungai Golok, Thailand demi manfaat lebih besar kepada ekonomi negara.

Walaupun kos penyambungan landasan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang sejauh 34 kilometer dilaporkan menelan belanja RM2 bilion, namun keterhubungan antara Malaysia dan Thailand dijangka dapat memberi nilai tambah kepada projek mega tersebut.

Lagipun, jumlah tersebut hanyalah tambahan sebanyak empat peratus daripada RM50.27 bilion kos keseluruhan ECRL dari Terminal Bersepadu Gombak ke Kota Bharu.

Apatah lagi Thailand sendiri minggu lalu mencadangkan perkara sama menerusi Duta Besarnya ke Malaysia, Lada Phumas. Thailand sememangnya mempunyai stesen kereta api di Sungai Golok yang boleh disambungkan ke rangkaian rel ECRL.

Sebelum ini, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berharap projek ECRL dapat disambung sehingga ke Rantau Panjang bagi memacu pertumbuhan ekonomi antara sempadan selain mempertingkat hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Rangkaian rel ini juga menjadi salah satu strategi untuk menangani impak kepada Malaysia susulan cadangan pembinaan Jambatan Darat Ranong-Chumphon di Segenting Kra Thailand.

Jambatan darat meliputi lebuh raya dan rel kereta api sepanjang 90 kilometer di antara Pelabuhan Ranong di Laut Andaman dan Pelabuhan Chumphon di Teluk Thailand itu dapat menjimatkan masa perjalanan kapal dagang selama empat hari berbanding menggunakan laluan Selat Melaka.

Selat Melaka kini menampung lebih 80,000 kapal setahun dan menjadi nadi perdagangan maritim antara Timur dan Barat. Jika Malaysia terkena tempias akibat jambatan darat Thailand itu, di sinilah ECRL boleh memainkan peranan iaitu sebagai pelengkap atau alternatif kepada laluan baharu itu.

Projek ECRL yang diunjur beroperasi pada 2027 asalnya dirancang untuk berakhir di Pengkalan Kubor, Tumpat iaitu kira-kira 33km dari Stesen Kota Bharu tetapi telah dibatalkan apabila kerajaan bertukar tangan atas alasan melakukan penjimatan.

Namun, apalah maknanya penjimatan yang ‘sedikit’ jika kita terlepas peluang untuk meraih faedah yang lebih besar.

Ulasan