Simpan RM20 sebulan selama 40 tahun bagi tunai haji


Simpan RM20 sebulan selama 40 tahun bagi tunai haji
SITI Hawa Ibrahim dibantu anaknya, Sazli Hafizan Zahid membuat persiapan menunaikan haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu semalam. – UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Oleh ZAID MOHD. NOOR
5 Mei 2025, 7:35 am

KUALA NERUS: Seorang pesara guru Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Ma­sya­rakat (Kemas) bakal menunaikan fardu haji hasil simpanan RM20 sebulan di dalam akaun Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) selama 40 tahun.

Siti Hawa Ibrahim, 64, dari Ketengah Jaya, dekat sini ber­kata, dia mula menabung di akaun Tabung Haji melalui potongan gaji apabila dilantik sebagai guru Tabika Kemas di Besut pada 1981.

Katanya, potongan gaji tersebut dibuat sehingga dia pencen ketika bertugas di Tadika Kemas di Bukit Besi dekat Bandar Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun pada 2021.

“Selepas mendapat kerja tetap sebagai guru Tabika Kemas, saya menanam hasrat untuk menunaikan ibadah haji dan mula membuat potongan gaji RM20 setiap bulan. Saya juga jimat cermat berbelanja dan menyimpan wang di akaun Tabung Haji sekiranya ada lebihan per­belanjaan.

“Alhamdulillah, berkat simpanan berkenaan, saya dipilih sebagai tetamu untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji 2025 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, semalam.

Majlis pelepasan itu disem­purnakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang mewakili ayahanda­nya.

Seramai 142 orang bakal haji berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam semalam sebelum berangkat ke Tanah Suci Madinah. Jumlah keseluruhan bakal haji dari Terengganu pada tahun ini ialah seramai 2,008 orang.

Siti Hawa berkata, dia membuka akaun Tabung Haji untuk anak lelaki bongsunya, Sazli Hafizan Zahid, 27, pada 2009 bagi membolehkannya men­jejakkan kaki di Tanah Suci Madinah.

“Syukur anak lelaki saya itu layak menemani saya sepanjang menunaikan haji kerana mempunyai masalah kesihatan,” ujarnya. – UTUSAN

Ulasan