SPM terbaik, jangan abai data kelemahan

SPM terbaik, jangan abai data kelemahan
Oleh DR. ANUAR AHMAD
4 Mei 2025, 9:40 am

MINGGU lalu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diumumkan. Seramai 402,918 mendaftar peperiksaan 2024. Daripada jumlah itu, calon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah seramai 344,919 orang dan 338,673 telah hadir pada hari peperiksaan.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah melaporkan Gred Purata Kebangsaan (GPK) bagi 2024 meningkat kepada 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada 2023. Selain itu, 355,933 (94 peratus) calon layak menerima sijil SPM bagi 2024 berbanding 349,297 calon tahun 2023. Bilangan calon SPM 2024 yang mencapai semua A juga meningkat kepada 14,179 (3.7 peratus) berbanding 11,713 (3.1 peratus) pada 2023.

Data keputusan SPM 2024 menunjukkan ada usaha KPM yang berjaya dengan baik. Misalnya, melalui pelbagai inisiatif KPM-JPN-PPD dan pihak sekolah, berlaku penurunan jumlah calon yang tidak hadir SPM sebanyak 2,430 orang berbanding 2023. Bagi 2024, terdapat 6,246 calon mendaftar tetapi tidak hadir SPM berbanding 8,676 calon yang tidak hadir pada 2023.

Antara yang menarik di dalam laporan SPM 2024 ini bila jurang pencapaian sekolah bandar dan luar bandar berjaya dirapatkan. Jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar semakin mengecil kepada hanya 0.02 mata. Ini adalah suatu pencapaian yang baik.

Cuma, LPM perlulah menjelaskan apakah parameter dan definisi sekolah bandar dan sekolah luar bandar? Apakah sekolah menengah di pekan seperti Bandar Baru Bangi, Semenyih, Besut, Kota Tinggi, Pendang dan pekan lain di seluruh negara masih dikategorikan sebagai sekolah luar bandar? LPM sepatutnya menggunakan parameter dan kriteria yang lebih jelas untuk membezakan antara sekolah luar bandar dan sekolah pedalaman.

Kebimbangan saya adalah apabila definisi sekolah luar bandar disekalikan dengan sekolah pedalaman, timbul persoalan apakah benar dan boleh diterima bahawa jurang pencapaian antara sekolah bandar dan sekolah pedalaman hanya 0.02 mata sahaja?

Satu lagi data yang menarik adalah laporan SPM 2024 menunjukkan pencapaian sekolah harian juga semakin baik pada 2024 berbanding 2023. Data ini akan membuka mata ibu bapa yang selama ini menganggap hanya sekolah berasrama penuh (SBP) dan MRSM pilihan terbaik untuk persekolahan anak-anak.

Usaha KPM untuk menjadikan sekolah-sekolah harian lebih berkualiti akan membawa pemikiran baharu kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah harian. Sekali gus, ini membuka peluang kepada lebih ramai anak-anak yang cemerlang dari keluarga miskin mendapat tempat di asrama penuh dan MRSM, sebagaimana yang menjadi matlamat asal ketika SBP dan MRSM ditubuhkan dahulu.

Di saat kita bergembira dan meraikan pencapaian keputusan SPM 2024 yang diiktiraf oleh KPM sebagai keputusan SPM terbaik sejak 2013, kita juga tidak boleh terleka tentang data-data yang menunjukkan kekurangan sistem pendidikan di negara ini.

Terdapat beberapa data yang harus menjadi fokus penambahbaikan. Pertama, mata pencapaian Gred Purata Kebangsaan (GPK) yang meningkat secara berterusan sejak sekian lama memerlukan penjelasan yang lebih komprehensif tentang bagaimana proses pengurusan pemarkahan dan penggredan peperiksaan ini telah dilaksanakan?

Misalnya, bagaimana pada 2020, ketika Covid-19 menyerang seluruh dunia, pencapaian SPM 2020 adalah terbaik sejak 2016? Begitu juga, bagaimana pada 2024, bila sekolah ditutup antara 2020-2022, keputusan SPM 2024 adalah terbaik sejak 2013?

Rakyat semakin celik pendidikan. Mereka bukan sahaja mahu memastikan anak-anak mencapai keputusan yang baik di dalam SPM tetapi juga mahu tahu bagaimana proses penilaian dan penggredan SPM dilakukan. Misalnya, jika anak mereka mendapat gred A dalam Matematik SPM, ibu bapa mahu tahu apakah proses yang dilakukan untuk mengesahkan anak-anak mereka layak dan benar-benar telah menguasai ilmu Matematik?

Kedua, data-data daripada keputusan SPM 2024 juga mendedahkan kepada kita isu kelemahan dan keciciran 3M (membaca, menulis dan mengira) masih menghantui sistem pendidikan negara. Masih ramai calon SPM 2024 yang mencapai keputusan rendah dan gagal boleh dikaitkan dengan tahap penguasaan 3M yang lemah. Malah bagi Matematik, bilangan calon SPM 2024 yang mendapat gred D, E dan gagal mencecah lebih 50 peratus.

Ketiga, laporan analisis SPM 2024 menunjukkan bilangan calon aliran sains tulen masih mengalami kemerosotan berterusan. Jadi, bersediakah kita untuk menjadi negara berteknologi tinggi jika secara berterusan sumber tenaga manusia berkemahiran tinggi dalam bidang sains dan teknologi merosot?

Data SPM 2024 menunjukkan terdapat 402,918 calon SPM pada 2024. Daripada itu, terdapat hanya 91,510 (22.7 peratus) calon mengambil mata pelajaran Fizik, hanya 92,282 (22.9 peratus) calon mengambil mata pelajaran Kimia dan hanya 71,533 (17.7 peratus) calon mengambil Biologi.

Daripada jumlah itu, keputusan SPM 2024 untuk Fizik menunjukkan 14,184 (15.5 peratus) calon mendapat gred rendah iaitu D,E dan G, mata pelajaran Kimia 27,184 (29.7 peratus) mendapat gred D,E dan G dan bagi Biologi, seramai 13,948 (19.5 peratus) mendapat gred D,E dan G.

Maksudnya sudahlah bilangan calon semakin merosot dan mengecil, bilangan yang mendapat keputusan rendah dan gagal juga ramai. Kelayakan minimum untuk masuk ke jurusan sains dan teknologi di IPT adalah gred C. Maksudnya, bagi mereka yang mendapat gred D, E dan G, secara automatik tidak layak untuk dipertimbangkan.

Jika ini berterusan, kita akan kehilangan banyak sumber manusia untuk menjayakan agenda negara maju berteknologi tinggi. Ini belum lagi diambil kira berlaku ‘kebocoran’ bila ada murid aliran sains yang akan gagal di peringkat IPT dan ada yang mengambil keputusan menukar bidang pengajian ke aliran sastera di IPT. Berapa lagi yang tinggal untuk menjadi guna tenaga berkemahiran tinggi dalam sektor teknologi termaju, robotik, digital, semi konduktor, AI dan sebagainya?

Menjadi kebimbangan kita semua, bila semakin banyak syarikat luar negara yang berteknologi tinggi melabur di negara ini, akan semakin ramai tenaga mahir diperlukan.
Kalau anak-anak tempatan tidak cukup, terpaksalah pelabur menjemput graduan dan pekerja luar negara yang berkemahiran tinggi untuk bekerja di negara ini. Akhirnya anak-anak kita akan kehilangan peluang di negara mereka sendiri.

Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM).

Ulasan