SPRM cekup 2 pegawai KDN



Berita
SPRM cekup 2 pegawai KDN

Diterbitkan: May 8, 2025 11:51 AM
Dikemaskini: 12:04 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai Kementerian Dalam Negeri dan satu orang awam dalam operasi antara jam satu tengah hari hingga 5.00 petang semalam di Putrajaya.

Ketiga-tiga individu tersebut ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah untuk mempercepat permohonan pengesahan taraf warganegara (PTW).

“Pada masa ini, ketiga-tiga individu sedang dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk siasatan lanjut,” menurut suruhanjaya itu.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam melaksanakan siasatan kes ini.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata operasi semalam adalah lanjutan daripada Op Outlander dijalankan mereka baru-baru ini.


Mac lalu Bernama melaporkan operasi itu menyiasat sindiket menjual sijil kelahiran sehingga mencecah RM50,000 kepada ibu bapa yang mempunyai anak angkat atau kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

Sebanyak 11 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM100,000 dilapor dibekukan selain 30 dokumen berkaitan disita.

Antara ditahan ketika itu, seorang penjawat awam, seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, seorang pengamal undang-undang serta beberapa ejen dan pemohon.

Ulasan