

Berita
Syarat halal, ekuiti bumiputera antara punca AS kenakan tarif
Diterbitkan: May 6, 2025 4:23 PMSekatan import halal Malaysia dan keperluan ekuiti bumiputera dalam syarikat milik asing dikenal pasti oleh AS sebagai halangan perdagangan utama —disebut sebagai antara punca di sebalik cadangan tarif balas sebanyak 24 peratus ke atas eksport Malaysia.
Dalam Laporan Anggaran Perdagangan Negara 2025 Mengenai Halangan Perdagangan Asing (NTE), Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) berkata syarat halal import Malaysia jauh lebih ketat berbanding amalan antarabangsa.
Tidak seperti negara lain yang membenarkan pemprosesan makanan halal dilakukan pada fasiliti bersama — dengan syarat prosedur pembersihan Islam dipatuhi — Malaysia pula mewajibkan rumah sembelihan mengendalikan bahan berkenaan di fasiliti yang dikhusus untuk produk halal.
Ia termasuk kemudahan sistem penyimpanan dan pengangkutan yang berasingan daripada produk tidak halal.
USTR menyatakan, keperluan ketat sebegitu meningkatkan kos operasi pengeksport dari AS.
“Semua loji daging dan ayam dari AS perlu diperiksa dan diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), serta disahkan oleh Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) yang diiktiraf sebelum dibenarkan mengeksport ke Malaysia,” katanya.
Laporan itu turut menyentuh isu peraturan tambahan yang dikenakan Malaysia, termasuk keperluan pendaftaran dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk semua fasiliti daging, ayam, dan tenusu yang terlibat dalam rantaian eksport.
“Proses (pendaftaran) ini memerlukan permohonan dihantar berserta dokumen sokongan yang menyeluruh untuk disemak oleh DVS, yang boleh mengambil masa beberapa bulan.
“Selepas semakan permohonan, produk daging dan ayam tertakluk kepada pemeriksaan di lokasi oleh DVS dan Jakim.
“Bagi semua produk yang tertakluk kepada pendaftaran, DVS turut memerlukan dokumen tambahan untuk sebarang perubahan dalam parameter pendaftaran (contohnya pengenalan produk baru di loji yang diluluskan atau perubahan maklumat seperti nombor atau alamat loji),” kata USTR.
Larangan pada pelabur asing
Memetik sumber industri AS, laporan itu berkata proses mengemas kini pendaftaran boleh mengambil masa “beberapa minggu hingga berbulan-bulan” dan disifatkan sebagai “terlalu membebankan” serta “tidak perlu” memandangkan rekod AS dalam membekalkan produk haiwan yang selamat ke Malaysia.
Walaupun pendaftaran telah diluluskan, sebarang perbezaan kecil — seperti ketidaksepadanan antara maklumat fasiliti dan sijil eksport — boleh menyebabkan penghantaran ditahan selama beberapa hari atau minggu.
USTR turut membangkitkan kebimbangan terhadap Peraturan Makanan 1985 Malaysia yang mentakrifkan minuman beralkohol secara ketat sehingga menyukarkan kemasukan produk baru yang tidak sesuai dalam kategori sedia ada.
“Ini telah menyebabkan larangan terhadap import, termasuk dari AS, bagi produk alkohol tertentu yang tidak memenuhi definisi spesifik tersebut,” kata laporan itu.
Selain peraturan halal, USTR turut menyenaraikan syarat minimum 30 peratus ekuiti bumiputera dalam sesebuah firma milik asing sebagai halangan pelaburan yang signifikan.

Ini termasuk peraturan khusus industri seperti dalam sektor perbankan dan insurans, pendidikan, logistik, penjanaan tenaga, air, media dan hiburan, serta telekomunikasi.
“Dalam industri minyak dan gas, firma bukan Malaysia dibenarkan menyertai perkhidmatan minyak secara kerjasama dengan syarikat tempatan dan dihadkan kepada 49 peratus pegangan ekuiti sekiranya rakan kongsi asing merupakan pemegang saham utama.
“Pelaburan asing juga dilarang dalam rangkaian pengedaran darat,” menurut USTR.
Dasar perolehan kerajaan yang didakwa lebih mengutamakan syarikat milik bumiputera turut dikenal pasti sebagai cabaran kepada firma asing yang ingin menyertai tender sektor awam.
Laporan NTE itu dikemukakan kepada Presiden AS, Donald Trump, dan Kongres pada 31 Mac lalu. Ia mengenal pasti halangan perdagangan berdasarkan empat kategori utama: tarif dan cukai, halangan bukan tarif, sekatan pelaburan, serta kebimbangan terhadap harta intelek.
Trump mengumumkan pelaksanaan tarif balas terhadap import dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, pada 2 April lalu namun kadar 24 peratus itu digantung selama 90 hari dengan kadar asas sementara sebanyak 10 peratus.
Ulasan
Catat Ulasan