Tangguh semua tindakan – PM


Tangguh semua tindakan – PM
ANWAR IBRAHIM
Oleh FITRI NIZAM
5 Mei 2025, 7:00 am

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan se­­mua pihak menghentikan se­­barang tindakan atau mengeluarkan apa juga kenyataan berhubung kemelut Petronas-Petros atas dasar kepentingan bersama.

Perdana Menteri berkata, beliau akan segera mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg untuk memuktamadkan beberapa prinsip yang telah disepakati sebelum ini.

“Saya telah berkesempatan bercakap dengan Premier Sarawak, (Tan Sri) Abang Johari Openg semalam mengenai urusan Petronas-Petros berdasarkan prinsip yang telah disepakati sebelum ini.

“Sekembalinya Premier dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom kelak, kami akan segera mengadakan perbinca­ngan lanjut untuk memuktamad­kannya.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa isu ini dapat dirungkai dengan berhemah dengan berdiri teguh di jalur wacana yang sihat dan bermakna, Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya semalam.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak mencapai kata sepakat untuk mencari jalan penyelesaian kemelut Petronas – Petros dalam masa terdekat ini.

Kata Premier Sarawak itu, beliau telah menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri meminta kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian yang harmoni dan adil bagi isu berkaitan Petronas dan Sarawak dalam sektor minyak dan gas (O&G).

“Dalam hal minyak dan gas ini, kita telah lama ‘bermain bola’ secara berhemah de­ngan Petronas. Saya pasti ramai dalam kalangan anda sudah mengetahui perkembangan terkini berkaitan isu ini.

“Bagaimanapun, kami sedang berusaha ke arah penyelesaiannya, malah, Perdana Menteri sendiri telah menghubungi saya pagi ini (Sabtu, waktu London), dan kami telah mencapai persefahaman bersama untuk bergerak ke arah satu penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi Townhall Agenda Sarawak sempena program ‘Lan Berambeh Anak Sarawak 2025’ edisi United Kingdom (UK) yang dilaporkan di Facebook Unit Komunikasi Korporat Awam Sarawak (UKAS).ABANG JOHARI OPENG

Abang Johari berkata, perbincangan yang akan dilakukan dalam isu sektor minyak dan gas itu akan menggunakan pendekatan menang-menang antara Sarawak dan Petronas.

“Penyelesaian ini akan berasaskan kepada niat baik bersama dan keyakinan bahawa kekayaan minyak dan gas negara perlu dikongsi secara adil. Sarawak telah menunaikan tanggungjawabnya,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia me­laporkan Kerajaan Nege­ri Sarawak menghantar surat tun­­tutan kepada anak syarikat Pet­ronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) atas dakwaan me­lakukan pelanggaran atau ke­tidakpa­tuhan terhadap Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.

Pelanggaran itu membabitkan operasi sebuah loji milik PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) di Lot 915-916, Lorong 1A-1A, Desa Senadin, 98100 Mi­ri, Sarawak.

Kerajaan negeri melalui Kementerian Utili­ti dan Telekomunikasi Sarawak mendakwa, loji berkenaan beroperasi seca­ra haram atau tanpa permit di bawah Seksyen 7(e) DGO 2016.

Notis itu kemudiannya dijawab Petronas dengan me­ngatakan bahawa mereka mempunyai hak dan kuasa secara statutori untuk menjalankan sebarang aktiviti atau operasi berkaitan petroleum di Sarawak.

Menurut Petronas, hak dan kuasa itu termaktub di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang memboleh­kan anak syarikatnya, PCSB mengawal selia semua aktiviti berkaitan petroleum di Malaysia, terma­suk di Sarawak.

“Kami menghormati aspirasi Kerajaan Negeri Sarawak, namun Petronas juga mempunyai tanggungjawab untuk menegak­kan PDA 1974 dan menjaga ke­pentingan negara.

“Petronas akan terus menja­linkan kerjasama secara membi­na serta bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan, Keraja­an Negeri Sarawak dan Petros dalam meneroka penyusunan masa depan.

“Ia penting bagi memastikan kejelasan dari segi peraturan dan kesinambungan operasi demi manfaat industri, negeri dan negara secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN

Ulasan