Tarif AS: Anwar perlu jujur macam PM Singapura - Syed Saddiq


Berita
Tarif AS: Anwar perlu jujur macam PM Singapura - Syed Saddiq
Diterbitkan: May 5, 2025 4:00 PM

PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu bersikap jujur mengenai kesan tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap rakyat Malaysia, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar).

Dalam sidang khas Parlimen hari ini berhubung tarif, Syed Saddiq menggesa Anwar agar mencontohi Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, yang secara terbuka berkata tarif itu akan memberi kesan besar terhadap pertumbuhan ekonomi republik berkenaan.

“Saya faham Perdana Menteri berniat baik, kata banyak sektor di Malaysia akan dikecualikan, seperti sektor elektrik dan elektronik serta semikonduktor.

“Tapi saya rasa kita perlu jujur dan ikhlas dalam menerangkan apa sebenarnya yang akan berlaku.

“Dengan kejujuran dan keikhlasan ini, akhirnya rakyat tahu yang walaupun mungkin ada kesusahan dan kegawatan jangka pendek, tetapi dengan bantuan yang mencukupi Malaysia boleh mara dan bangkit semula kepada keadaan yang lebih baik,” katanya.

Pada 3 April lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa semua import ke AS akan dikenakan tarif asas sebanyak 10 peratus.

Bermula 9 April, AS akan mengenakan tarif lebih tinggi pada kadar “separuh” daripada jumlah tarif yang dikenakan negara lain terhadap eksport mereka.

Langkah itu menyaksikan AS mengenakan “tarif timbal balas” sebanyak 24 peratus terhadap Malaysia.

Sebelum ini, Wong dalam kenyataan rasmi sebagai perdana menteri dan menteri kewangan berkata Singapura mungkin akan berdepan kemelesetan tahun ini.

‘Penilaian tak tepat’

Syed Saddiq berkata lagi, penilaian Anwar bahawa Malaysia tidak akan begitu terkesan dengan tarif tersebut adalah tidak tepat.

Dia memberi contoh industri solar yang akan terkesan dengan tarif ke atas import sel dan panel solar.

Pada 21 April lalu, Reuters melaporkan bahawa pegawai perdagangan AS telah memuktamadkan “tahap tarif yang tinggi” ke atas majoriti sel solar dari Asia Tenggara.

Ulasan